Pada bulan lalu, Shell telah mengumumkan tiada caj ekstra sebanyak 50 sen dikenakan untuk setiap tambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) di 27 buah stesen minyaknya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan bermula 16 Januari 2020. Hari ini, Shell telah mengambil langkah yang sama untuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Ini memberikan peluang kepada para pengguna lebuhraya berkenaan untuk menambah nilai kad TNG masing-masing di stesen Shell yang berada di sepanjang lebuhraya tersebut tanpa dikenakan caj tambahan sebanyak 50 sen.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, “Shell memahami cabaran yang terpaksa rakyat Malaysia hadapi ekoran kenaikan kos sara hidup. Justeru, dengan pelupusan caj RM0.50 bagi setiap tambah nilai kad TNG di stesen kami di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE dan LPT ini dapat membantu rakyat Malaysia dalam penjimatan.”

Selain daripada insiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran-sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.