Teaser kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

<em>Teaser</em> kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

Menerusi laporan sebelum ini, prototaip kereta nasional ketiga yang diumumkan pada tahun lalu sepatutnya akan didedahkan kepada umum pada pertengahan tahun ini. Namun ketika berlangsungnya pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 hari ini di Menara MITI Kuala Lumpur, pihak yang menerajui projek ini, DreamEdge telah mempamerkan teaser untuk prototaip kereta berkenaan.

Kereta tersebut diletakkan dalam sebuah kotak besar, dengan satu cermin kecil yang gelap untuk mengintai ke dalam. Prototaip ini juga diselubung dengan kain penutup, dan hanya bahagian lampu hadapan kanan dan lampu belakang kiri didedahkan.

Menerusi sedikit bahagian bampar yang terdedah, kereta ini nampaknya diberikan warna matte hitam. Untuk lampu hadapan, ia hadir dengan jalur lampu nyalaan siang LED yang diletakkan seperti kening, bersama lampu utama projektor dan juga lampu isyarat membelok jenis mentol biasa.

Manakala untuk lampu belakang pula ia turut diberikan teknologi LED dan kelihatan rekaan dari Audi. Di bawah bampar, ia hadir dengan kemasan melintang berwarna hitam berkilat, bersama satu jalur yang mungkin reflektor atau mungkin lampu kabus jenis LED bagi menggantikan lampu jenis mentol konvensional pada kereta biasa.

DreamEdge belum mendedahkan sebarang spesifikasi terperinci berkenaan kereta ini, tetapi diluar kotak pameran tersebut ada menyatakan berberapa perkara. Menurut syarikat kejuruteraan digital yang berpangkalan di Cyberjaya ini, kereta ini akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.

Kereta ini juga akan menggunakan teknologi tinggi terkini bagi memindahkan pengetahuan menerusi proses lokalisasi, dan seterusnya akan mewujudkan ekosistem teknologi baharu. DreamEdge turut menjanjikan bahawa kereta ini kelak akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang.

<em>Teaser</em> kereta nasional ketiga DreamEdge dipamer – “seronok untuk dipandu, hasil tempatan sepenuhnya”

Dari segi rekaan teknologi lain, DreamEdge menyatakan kereta ini akan menerima “rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini.”

Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required