Daihatsu Motor Company (DMC) telah mengesahkan pembabitannya dengan projek kereta nasional ketiga Malaysia, yang bakal diterajui oleh syarikat tempatan, DreamEdge. Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden DMC, Soichiro Okudaira, kepada wartawan Malaysia di Tokyo Motor Show 2019, sebentar tadi. Beliau berkata, buat setakat ini, tiada butiran lanjut yang boleh diperkatakan, kerana ia masih di peringkat perbincangan dan hanya boleh diputuskan secara muktamad oleh pihak di Malaysia.

Ini merupakan pertama kali kenyataan dikeluarkan oleh sumber rakan kerjasama rasmi sejak projek kereta nasional ketiga Malaysia diumumkan pada 9 Ogos lalu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dengan mengesahkan DreamEdge bakal menjadi peneraju utamanya.

Pada Ogos lalu, CEO DreamEdge Khairil Adri Adnan berkata, syarikat itu setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimana pun, teknologi yang bakal digunapakai masih dirahsiakan.

Selepas pengumuman ini, DreamEDGE akan meneruskan pula dengan membuat mock-up bagi keupayaan kejuruteraan bermula hujung Ogos ini. Kemudian, pada pertengahan September 2019, mereka akan memulakan pengambilan tenaga kerja tambahan untuk projek ini.

Difahamkan, DreamEdge dijadualkan mula menghasilkan model prototaip pertama kereta ini pada Mac 2020 nanti. Kemudian, dalam tempoh setahun selepas itu, iaitu pada Mac 2021, model pertama kereta nasional terbaharu ini akan dilancarkan.