Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

Semasa majlis pelancaran Polisi Automotif Negara (NAP) 2020 Jumaat lalu, DreamEdge ada membawa prototaip baru projek kereta nasional ketiga. Di sebelah kereta itu, terdapat pula dua syarikat pengeluar kenderaan nasional sebenar yang menguasai dua tempat paling atas dalam pasaran sekarang iaitu Proton dan Perodua.

Perodua membawa sebuah Myvi dan ruang pameran kecil berkenaan sistem Advanced Safety Assist (ASA). Walaupun begitu, apa yang lebih menarik perhatian kami adalah informasi yang terpampang di belakang. Ia menunjukkan perjalanan Perodua di Malaysia, pencapaian serta usaha dan tanggungjawab syarikat itu dalam membangunkan industri automotif Malaysia.

Berita biasa bagi Perodua adalah jualan yang tinggi atau rekod perkongsian pasaran, tapi syarikat itu juga berbangga dengan peranan mereka dalam menyokong komuniti vendor tempatan dan ekosistem automotif secara keseluruhannya. Disebabkan jumlah jualan yang banyak dan tahap lokalisasi yang tinggi, mereka membeli banyak daripada pembekal tempatan – untuk tahun 2020 Perodua menjangka akan membeli barang buatan Malaysia berjumlah RM6 bilion berbanding tahun lepas RM5.4 bilion.

Perodua melakukan tiga perkara penting dalam memainkan peranan membangunkan industri tempatan iaitu peningkatan kemampuan R&D, menggalakkan lokalisasi dan pembangunan sumber manusia tempatan. Dengan membangunkan kemampuan R&D dan mencapai kualiti dan kos bertahap dunia, ia turut memberi kesan kepada syarikat, pekerja dan industri automotif tempatan secara keseluruhannya dengan meningkatkan standard sedia ada.

Perodua juga mempunyai pusat sokongan vendor (VSC) yang mana sasaran utamanya adalah untuk memperbaiki keuntungan vendor dan mengembangkan peluang eksport untuk pembekal. Rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu turut membantu memberikan latihan sokongan, dan terdapat juga program sokongan residen (RS) di mana pekerja Perodua diletakkan dalam syarikat vendor, bekerja seperti biasa, tetapi gaji dibayar oleh Perodua.

Penggunaan barang keluaran tempatan yang berjumlah banyak pada kenderaan Perodua menjadi penyumbang yang besar kepada industri automotif tempatan. Semasa zaman Kancil, Kenari dan Kelisa, tahap penggunaan bahan tempatan adalah antara 60% hingga 80%, kemudiannya meningkat menjadi 86% waktu Myvi generasi pertama dikeluarkan. Sekarang, tiga model terbaru Perodua iaitu Bezza, Myvi generasi ketiga dan Aruz menggunakan 95% bahan tempatan.

Kenapa tidak 100%? Perodua adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat Toyota yang lebih besar, dan apabila terdapat alat ganti yang boleh dikongsi untuk mengurangkan kos, secara logiknya mereka akan memilih alat ganti tersebut – sebagai contoh, barisan enjin NR yang digunakan oleh pelbagai model Toyota dan Diahatsu.

Akhir sekali skala. Sumbangan Perodua kepada industri automotif tempatan sangat besar, kerana Perodua itu sendiri juga agak besar. Mereka telah mencatat rekod jualan paling tinggi dengan 240,341 unit tahun lepas, yang bersamaan hampir 40% perkongsian pasaran. Malah, sejak 1994, Perodua telah mengeluarkan 3.7 juta buah kenderaan. Lagi banyak kereta yang dikeluarkan, lebih banyak alat ganti yang diperlukan.

Pada masa hadapan, ia akan meningkat lagi – Perodua sekarang sedang mempersiapkan model SUV baru untuk tahun ini, dengan perancangan meningkatkan pelaburan pada tahun 2020 hampir dua kali ganda, kepada RM1.06 bilion (+86.2% berbanding tahun 2019).

Perjalanan Perodua di Malaysia – 3.7 juta kenderaan dijual, 95% bahan tempatan, membantu ekosistem

“Separuh daripadanya, iaitu sekitar RM500 juta, adalah berkaitan pelaburan kilang, memodenkan, mengembangkan serta mempersiapkannya untuk model masa hadapan,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Syarikat ini juga meletakkan sasaran untuk menjadi hab R&D bagi ASEAN, membangunkan produk bersama – dan untuk – Daihatsu dalam benua ini. Walaupun sedar Daihatsu mempunyai cabang yang besar di Indonesia, Zainal Abidin berkata, Perodua mempunyai kelebihan dalam R&D berbanding Astra Daihatsu Motor.

Jadi, jelas apabila Perodua terus berkembang, ekosistem automotif tempatan serta negara juga akan menerima manfaatnya. Semua benda ini adalah berkaitan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required