Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

Sebelum dipamerkan secara rasmi di Geneva Motor Show bulan hadapan, Volkswagen telah memperkenalkan Touareg R iaitu versi prestasi tinggi bagi SUV generasi ketiga tersebut. Menampilkan penggunaan enjin plug-in hybrid yang berkuasa, SUV ini adalah model PHEV ketiga yang diperkenalkan oleh Volkswagen, selepas Golf dan Passat, dan merupakan PHEV pertama yang menggunakan pacuan semua roda (keluaran Volkswagen).

Enjin pada Touareg R ini sebenarnya adalah sama seperti yang digunakan pada Porsche Cayenne dan Panamera, iaitu unit petrol V6 3.0 liter turbo berkuasa 340 PS, yang dipadankan bersama motor elektrik 136 PS yang terletak di antara transmisi automatik Tiptronic lapan kelajuannya.

Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium ion yang diletakkan di bawah bahagian simpanan barang belakang, dengan kapasiti 14.1 kWH. Buat masa ini Volkswagen masih belum mendedahkan jumlah penggunaan bahan api, jarak gerak menggunakan elektrik atau perincian mengecas Touareg R, tetapi kalau melihat kepada model Porsche yang menggunakan bateri sama, waktu mengecasnya adalah antara 2.3 hingga 3.6 jam.

Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

Satu lagi bahagian yang terlibat dalam menggerakkan model ini adalah sistem pacuan semua roda sepanjang masa 4Motion yang termasuk sekali dengan pengunci differential tengah, yang membolehkan pembahagian tork dinamik secara asymmetric. Kuasa sehingga 70% boleh disampaikan ke roda hadapan manakala untuk roda belakang, sehingga 80%.

Apabila digabungkan, secara keseluruhannya Touareg R boleh menghasilkan kuasa 462 PS dan tork 700 Nm, sekaligus mengatasi jumlah 421 PS yang dihasilkan oleh Touareg V8 TDI (tork model ini adalah 900 Nm). Laju maksimum Touareg R dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, tetapi jika anda mengambil keputusan untuk menggunakan E-Mode (menggunakan kuasa elektrik sahaja) lajunya dihadkan kepada 140 km/j sahaja.

Selain pilihan E-Mode dan Hybrid dalam 4Motion Active Control, pemandu juga disediakan dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual, Offroad dan Snow, di mana ia boleh dipilih menggunakan tombol pada konsol tengah. Apabila mendapatkan pakej offroad, anda akan disediakan dengan dua lagi mod tambahan iaitu Gravel dan Sand.

Volkswagen Touareg R – plug-in hybrid, tork 700 Nm

Pada aspek penggayaan, bampar serta kemasan pada lengkung roda dan bawah pintu model ini semuanya menggunakan warna yang sama seperti badan, manakala kemasan pada bukaan udara, garis tingkap, bahagian bawah bampar serta cermin sisi menggunakan warna hitam. Bahagian dalam lampu digelapkan sementara rim pula adalah unit 20 inci rekaan Braga.

Masuk ke dalam, kemasan aluminium Silver Wave digunakan pada papan pemuka dan panel pintu, manakala konsol tengah pula menggunakan kemasan berwarna hitam dan perak. Beberapa logo R digunakan pada bahagian termasuk tempat duduk yang dibalut kulit, plet stainless steel tepi pintu dan roda stereng.

Ciri standard lain pada Touareg R adalah seperti Innovision Cockpit yang termasuk Digital Cockpit (panel instrumen digital 12 inci), sistem infotainmen Discover Premium (skrin sesentuh 15 inci di tengah), lampu utama LED matriks IQ.Light, bumbung panoramik serta pengawal suhu empat zon Air Care Climatronic.

Sekiranya masih tidak mencukupi, Volkswagen ada menawarkan sistem seperti Trailer Assist dan Travel Assist untuk memberikan bantuan tambahan pada kelajuan sehingga 250 km/j dan beroperasi dengan bergantung kepada sistem seperti Adaptive Cruise Control dan Lane Assist.

Barangan pilihan lain yang disediakan adalah seperti sistem bunyi 780 watt Dynaudio, Front Cross Traffic Assist dan aksesori eksklusif R seperti warna luaran Lapiz Blue Metallic, rim Suzuka 21 inci, rim 22 inci Estoril serta pakej balutan kulit Puglia dengan kemasan Sepang Blue.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required