BMW 2 Series Gran Coupe F44 yang pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Oktober 2019, telah pun dilancarkan di pasaran Thailand. Coupe empat-pintu ini ditawarkan dengan varian tunggal 218i M Sport dengan harga 2.369 juta baht, atau RM315,567.
Varian 218i M Sport ini menampilkan enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 PS (138 hp) dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm.
Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, dengan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 8.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 215 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya, 218i ini dianggar menggunakan sekitar 5.9 l/100 km (kombinasi), sementara emisi bagi CO2 pula pada 136 g/km (kombinasi).
Untuk kelengkapannya, kereta spesifikasi Thailand ini didatangkan dengan pakej M Sport termasuk bampar yang sporty, kemasan krom pada gril, dan suspensi M Sport. Ia juga menampilkan lampu utama dan lampu belakang LED, roda aloi jejari-berkembar style 819 M 18-inci, pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line dan bumbung matahari panoramik.
Di dalamnya, Gran Coupe didatangkan dengan BMW Individual anthracite headliner, kemasan dalaman Illuminated Boston, kulit upholstery Dakota dengan rona hitam, roda stereng M Sport, tempat duduk larasan kuasa (dengan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu) dan kawalan suhu dwi-zon.
Tidak seperti model yang pernah dipamerkan di Singapore Motor Show baru-baru ini, model spesifikasi Thailand didatangkan dengan sistem BMW Live Cockpit Plus (paparan instrumen separa-digital, paparan utama 8.8-inci) berbanding model spesifikasi tinggi dengan pelarasan BMW Live Cockpit Professional (paparan kluster instrumen 12.3-inci dan paparan utama 10.25-inci dengan BMW Operating System 7.0).