Microletta – skuter letrik tiga tayar, boleh cecah 80 km/j

Syarikat yang berpusat di Switzerland, iaitu Micro Mobility Systems telah memperkenalkan produk terbaru mereka yang merupakan sebuah motosikal elektrik dengan dua roda di hadapan, dinamakan sebagai Microletta. Kebanyakan produk lain syarikat ini adalah skuter jenis berdiri, dan paling besar adalah kereta elektrik Microlino.

Melihat kepada rekaannya, Microletta seperti skuter kanak-kanak, tetapi mempunyai saiz seperti motosikal dan mempunyai tempat duduk. Kemudiannya, ia juga seperti mendapat banyak inspirasi rekaan daripada motosikal Itali seperti Vespa dan Lambretta.

Keunikan utama model ini adalah penggunaan dua roda di hadapan, yang dikatakan mampu memberi lebih keyakinan kepada penunggang. Walaupun dengan tetapan sebegitu, bahagian badan motosikal ini masih boleh condong untuk mengambil selekoh seperti motosikal biasa. Dalam laman web rasmi pengeluar juga dinyatakan ia boleh ditunggang oleh sesiapa sahaja yang mempunyai lesen memandu kereta.

Microletta – skuter letrik tiga tayar, boleh cecah 80 km/j

Microletta akan didedah secara rasmi semasa Geneva Motor Show bulan hadapan, dan spesifikasi lengkapnya masih belum disiarkan. Apa yang diberitahu, ia mempunyai laju maksimum 80 km/j, dua pek bateri yang boleh dibawa keluar dan waktu mengecas empat jam.

Mereka yang berada di Eropah dan berminat dengan Microletta sudah boleh menempahnya secara percuma di laman web, dan harga jualannya adalah 4,900 euro (RM22,800). Boleh tahan tinggi juga harganya, kan?