Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlumba di Qatar hujung minggu ini, MotoGP dibatalkan terus

Nampaknya pusingan pertama perlumbaan MotoGP musim 2020 di Qatar 8 Mac ini hanya akan melibatkan dua kategori sahaja iaitu Moto3 dan Moto2. Ini adalah kesan daripada langkah membendung penyebaran coronavirus di sana.

Kerajaan Qatar telah menghadkan kemasukan ke negara itu, dengan meletakkan peraturan khas untuk mereka yang tiba dari beberapa negara termasuk Itali. Bermula hari ini, penumpang yang tiba di Doha melalui penerbangan terus dari Itali, atau telah berada di Itali untuk tempoh dua minggu yang lalu, akan terus dikuarantin sekurang-kurangnya selama 14 hari.

Seperti yang kita ketahui, mereka yang terlibat dalam MotoGP, tidak kiralah daripada jurutera, pekerja teknikal ataupun pelumba itu sendiri, memang ramai yang datang dari Itali. Disebabkan itu, FIM, IRTA dan Dorna membuat keputusan membatalkan terus perlumbaan kategori MotoGP.

Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlumba di Qatar hujung minggu ini, MotoGP dibatalkan terus

Sementara itu, bagi kategori Moto2 dan Moto3 pula, pekerja pasukan dan pelumba sememangnya sudah berada di Qatar kerana terlibat dengan sesi ujian selama tiga hari minggu lepas, seterusnya membolehkan perlumbaan diteruskan hujung minggu ini.

Satu lagi perlumbaan yang akan diteruskan adalah Idemitsu Asia Talent Cup, di mana dua perlumbaan akan dijalankan mengikut jadual sewaktu Qatar Grand Prix. Jadi, kita masih berpeluang melihat beberapa pelumba negara memulakan musim hujung minggu ini.