Walaupun kerajaan telah bertukar menerusi kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari mengesahkan projek kereta nasional baharu (NNCP) yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed tetap akan diteruskan.
Menurut beliau, projek yang diterajui oleh syarikat kejuruteraan digital, DreamEdge yang berpusat di Cyberjaya akan berjalan seperti sebelum ini kerana ia tidak melibatkan sebarang campur tangan atau dana dari kerajaan.
“NNCP tidak akan dihentikan, Ia bukan projek yang menerima dana kerajaan, tetapi projek dengan dana swasta, dan NAP 2020 memberikan berberapa insentif untuk projek sebegini, jadi apa yang sedang dibuat ini kekal,” katanya kepada wartawan ketika pembentangan prestasi industri MARii semalam.
“Untuk sektor swasta, selagi mereka mahu melakukakan ini (projek kereta nasional ketiga) ia akan diteruskan. Jika mereka kata mereka mahu berhenti, tiada apa yang boleh dilakukan kerajaan, tetapi apa yang kami tahu sehingga kini tiada berita yang mengatakan mereka akan berhenti,” katanya.
Menurut Datuk Madani lagi, DreamEdge mahu mendedahkan prototaip kereta baharu mereka pada acara Malaysia Autoshow 2020 – pada awalnya dirancang akan berlangsung pada April ini, tetapi ditangguhkan ke Julai nanti kerana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda.
Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.
Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.
Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.
Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.
Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.
Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.
DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Madani turut menjelaskan bahawa setiap poin polisi dalam NAP 2020 akan diteruskan dan tidak berubah walaupun kerajaan telah bertukar.
“NAP telah diluluskan oleh kabinet sebelum ini, dan Perdana Menteri sekarang turut berada dalam Kabinet yang sama, jadi kami – dan semua di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – berpandangan bahawa kerajaan baharu tidak akan mengubah perkara ini, dan meneruskan polisi dan garis panduan berkenaan. Visi NAP ini adalah agak holistik bagi memastikan bukan hanya pembangunan tempatan, malah semua pihak dapat bertumbuh dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.