Malaysia Autoshow 2020 ditunda dari April ke Julai

Kalau semalam Geneva Motorshow 2020 diumumkan batal (penganjuran sepatutnya berlangsung awal Mac), ini ada satu lagi acara automotif dilaporkan mengambil langkah yang sama. Gara-gara penularan wabak novel coronovirus atau pun Covid-19, Malaysia Autoshow 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 9-12 April ini terpaksa ditunda ke Julai.

Menurut penganjur utamanya, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), acara berkenaan terpaksa ditunda sebagai langkah berjaga-jaga, malah keputusan tersebut dibuat demi keselamatan dan kesihatan semua pelawat termasuk peserta pameran. MARii turut memaklumkan, acara berkenaan mungkin akan dilangsungkan pada 2-5 Julai 2020, di lokasi yang sama iaitu Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Selain Geneva, Beijing Motorshow 2020 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 21-30 April turut ditunda ke tarikh lain yang belum dimaklumkan. Bukan itu saja, perlumbaan berskala besar, Qatar MotoGP pada hujung minggu ini turut dibatalkan. Begitu juga dengan Thailand MotoGP yang dijadualkan berlangsung pada 20-22 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, juga sah dibatalkan.