Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

Diperkenalkan kepada dunia Ogos tahun lalu, kini Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT sudah dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga masing-masing RM130,900 dan RM136,900 tidak termasuk insurans. Di dalam pasaran, model power cruiser ini akan bersaing dengan model seperti Ducati Diavel dan X Diavel.

Model baru ini masih kekal sebagai motosikal produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, dengan menggunakan unit tiga silinder 2,500 cc yang mampu menghasilkan kuasa 165 hp pada 6,000 rpm dan 221 Nm tork pada 4,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, kuasa ini adalah 11% lebih tinggi.

Daripada enjin, kuasa disampaikan melalui transmisi enam kelajuan, seterusnya sistem pacuan shaft kepada roda belakang. Melalui kuasa daripada enjin besar ini, Rocket 3 menyediakan nisbah kuasa kepada berat yang lebih mengujakan kerana beratnya masing-masing cuma 291 kg untuk R dan 294 kg untuk GT.

Perbezaan utama antara dua versi yang ditawarkan adalah Rocket 3 R disediakan untuk mereka yang mahukan tunggangan sporty manakala Rocket 3 GT pula untuk mereka yang lebih santai dan mahu banyak menggunakannya bagi perjalanan jarak jauh.

Anda boleh melihat perbezaannya pada bahagian seperti peletak kaki (jenis dan kedudukannya), penghadang angin hadapan, penyandar kecil untuk penumpang belakang, pemegang dan tinggi tempat duduk (773 mm untuk Rocket 3 R dan 750 mm untuk Rocket 3 GT).

Kebanyakan kelengkapan lain pada motosikal ini adalah sama, termasuk suspensi yang terdiri daripada unit fork Showa 47 mm dengan larasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock Showa boleh laras sepenuhnya di belakang. Kuasa brek pula datang daripada angkup Brembo M4.30 Stylema empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, lengkap dengan Cornering ABS.

Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

Pada bahagian elektronik, Rocket 3 datang dengan empat pilihan mod tunggangan, Traction Control, panel instrumen TFT-LCD generasi kedua Triumph serta semua lampu jenis LED. Turut diberikan secara standard adalah Hill Hold Control, Cruise Control dan sistem tanpa kunci. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

Selain daripada dua versi Rocket 3 ini, Triumph Malaysia turut menyerahkan sebuah Rocket 3 istimewa versi TFC kepada pemilik pertamanya di Malaysia. Versi ini mempunyai lebih banyak bahagian yang dibuat daripada gentian karbon, dan lebih ringan berbanding Rocket 3 biasa. Ia dikeluarkan terhad sebanyak 750 unit untuk seluruh dunia dan juga mempunyai kedudukan menunggang yang berbeza.

GALERI: Triumph Rocket 3 R 2020

GALERI: Triumph Rocket 3 GT 2020

GALERI: Triumph Rocket 3 TFC 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required