Honda dikhabarkan bakal memperkenalkan model Odyssey 2021 ketika berlangsungnya New York International Auto Show (NYIAS) 2020. Dalam penampilan terbarunya, model berkenaan menerima beberapa perubahan visual dan kemaskini kelengkapan bagi versi facelift terbaru berkenaan.

Generasi kelima MPV ini mula memasuki pasaran pada 2018 dan direka khusus bagi pasaran Amerika Utara; ini menjadikannya berbeza dengan model sama yang dijual di pasaran lain seperti Jepun dan Malaysia. Antara kelainan luaran yang ditampilkan kali ini ialah rekaan gril baru dengan perincian hitam menggantikan kemasan krom sebelum ini.

Melengkapkan lagi pembaharuannya ialah rekaan lampu utama LED baru sebagai ciri standard, dan disifatkan lebih berkuasa serta cekap. Bahagian bawah bampar juga menerima rekaan bukaan udara baru, disertai juga dengan lampu kabus. Di belakang, kemasan hitam berkilat di bawah cermin merupakan tambahan terbaru – imej yang sama dari gril diterjemah juga di belakang. Lain-lain pembaharuan ialah rim 19-inci rekaan baru.

Di dalam pula, MPV berkenaan menerima kawalan pendingin yang dipertingkat. Tempat duduk barisan kedua juga boleh dilipat rata. Semua tingkat kemasan dan versi MPV ini datang lengkap dengan Honda Sensing yang lengkap dengan ciri Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, serta Pedestrian Emergency Braking.

Honda Odyssey 2021 kekal menggunakan enjin 3.5 liter i-VTEC V6 yang menghasilkan 280 hp, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. Enjin ini juga lengkap dengan ciri Variable Cylinder Management (VCM) yang membolehkan peralihan operasi yang lancar antara tiga-silinder dan enam-silinder.