Kenderaan elektrik kini semakin diterima ramai (sekurang-kurangnya di negara luar), dan permintaan untuk aksesorinya juga nanti akan bertambah. Oleh itu, syarikat dari Jerman, Hofele telah mengeluarkan kit penggayaan khas untuk SUV elektrik Mercedes-Benz EQC. Ia lebih kepada perubahan gaya, sementara pakej kuasa masih lagi menggunakan dua motor elektrik 402 hp/765 Nm tork yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 80 kWh seperti asal.
Dalam keadaan standard keluar dari kilang, EQC mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan boleh mencecah kelajuan maksimum 180 km/j. Dengan bateri yang mempunyai berat 652 kg, SUV elektrik ini mencatat berat keseluruhan 2,495 kg, sementara jarak gerak melalui ujian WLTP adalah 417 km, dengan penggunaan kuasa 22.3 hingga 25 kWh bagi setiap 100 km.
Pada bahagian hadapan, perubahan yang diberikan oleh Hofele boleh dilihat bermula daripada gril serta bampar yang menjadikannya kelihatan seperti Mercedes-Maybach S-Class, tetapi menggunakan kemasan hitam pada bampar tersebut, berbanding krom pada limosin panjang itu.
Kemudiannya, dalam pakej Hofele ini terdapat set rim ‘Turbine’ 22 inci, yang diwarnakan krom gelap dan dibalut tayar 265/35. Sama seperti bampar hadapan, kemasan pada bahagian tepi dan bawah bampar belakang diwarnakan perak (standard menggunakan warna hitam) manakala diffuser belakang masih dibiarkan warna hitam.
Masuk ke bahagian dalam, Hofele menyediakan tempat duduk serta beberapa bahagian lain yang dibalut dengan kombinasi kulit Armagnac dan Alcantara yang diperincikan dengan jahitan unik. EQC adalah antara lima model Mercedes-Benz terawal yang mendapat pakej penggayaan daripada Hofele tetapi harganya masih belum diumum.