Selepas Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan bermula esok hingga 31 Mac ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengeluarkan pengumuman bahawa kaunter khidmat di pejabat mereka masih lagi dibuka sepanjang tempoh tersebut.

Walaubagaimanapun, cawangan mereka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan ditutup dan orang ramai diminta menangguhkan terlebih dahulu urusan yang tidak penting dan mengambil alternatif menggunakan khidmat atas talian.

Selain daripada itu, walaupun kaunter urusniaga masih dibuka, JPJ akan menutup sementara antara jam 1 tengahari hingga 2 petang bagi proses nyahkuman dan disinfeksi di kawasan kaunter dan pejabat. Proses ini akan dilaksana setiap hari dari 18 Mac hingga 31 Mac.

Kemudiannya, semua kursus, ceramah KPP, latihan memandu, ujian teori, amali memandu di Institut Memandu dan ujian Bahagian 1 secara bertulis dan lisan, ujian komputer Bahagian 1 di Pusat eKhidmat (MyEG, KOMMS dan MYSPEED) pula ditangguhkan sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.