Anda pernah tertanya-tanya, antara dua model trak pikap popular Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, mana satu yang lebih jimat minyak? Melalui artikel ini, perkara itulah yang ingin kami car kepastiannya – dengan cara mengujinya sendiri.

Untuk tujuan itu, kedua-dua model yang ditampilkan ini merupakan varian paling tinggi dan lengkap bagi model masing-masing. Toyota Hilux diwakili oleh model dengan enjin 2.8 liter turbodiesel 1GD-FTV dengan janaan 177 PS dan 450 Nm. Sementara itu, Triton pula dengan enjin 2.4 liter aluminium MIVEC turbodiesel, menghasilkan 181 PS dan 430 Nm tork.

Kedua-dua trak ini dilengkapi dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Penting juga untuk dimaklumkan bahawa Hilux sebenarnya mempunyai berat 2,100 kg, lebih 170 kg berbanding Triton dengan 1,930 kg. Di atas kertas, Triton punya banyak kelebihan dari aspek ini, tetapi ada eloknya kita uji dalam penggunaan nyata untuk lihat apakah bacaan yang sebenarnya – adakah betul Triton lebih jimat minyak, atau sebaliknya Hilux lebih cekap?

Untuk menjadikan semuanya sama rata, kami memilih satu laluan tetap sejauh 306 km, bermula dari stesen Petronas Solaris Putra menuju ke Lebuhraya KL-Seremban. Semua pembolehubah dikawal – suhu pendingin hawa ditetapkan pada 20 darjah Celsius dengan kelajuan hembusan medium, dan tekanan tayar diperiksa agar mengikut cadangan daripada pengeluar masing-masing. Lain-lain beban tambahan juga telah dikeluarkan.

Seterusnya, kedua-dua trak pikap diisi dengan Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive melalui kaedah tiga-klik (tunggu sehingga pam minyak berhenti secara automatik, dan diulang proses ini sebanyak tiga kali dalam selang 10 saat), dan trip meter diset kepada sifar sebelum memulakan perjalanan.

Keadah ujian juga sangat mudah. Di lebuhraya, kelajuan ditetapkan antara 70 km/j hingga 110 km/j bergantung kepada aliran trafik. Walaupun kedua-dua trak mempunyai ciri kawalan melayar pasif, hanya input menggunakan pedal kaki digunakan sepanjang pemanduan untuk menjadikan pemanduan lebih kepada cara penggunaan sebenar oleh manusia.

Sepanjang perjalanan, kedua-duanya bergerak sebagai konvoi longgar bagi mengelakkan drafting effect sebelum berhenti di R&R Seremban untuk bertukar kenderaan. Ini bertujuan menjadikan gaya pemanduan lebih sekata antara kedua-dua trak pikap berkenaan. Bagi bahagian suasana pemanduan di tengah bandar, ini diwakili dengan persinggahan pertama di Jonker Street, Melaka – berehat sekejap menikmati cendol gula Melaka.

Dalam perjalanan pulang menuju Paya Jaras, Selangor, kaedah yang sama diterapkan. Pemanduan mengikut keadaan trafik, dan berhenti untuk bertukar kenderaan di R&R Ayer Keroh dan R&R Seremban.

Dipenghujung perjalanan sejauh 306 km itu, keputusan seperti ini yang diperoleh – Hilux 2.8L menggunakan 21.565 liter diesel Euro 5 manakala Triton 2.4L menggunakan 19.488 liter bahan api yang sama. Itu mewakili 14.19 km per liter bagi Hilux, sementara Triton pula mencatatkan 15.7 km per liter penggunaan. Ujian ini menunjukkan yang Triton 10.65% lebih cekap penggunaan bahan apinya, atau menggunakan 9.63% kurang diesel berbanding Hilux.

Lanjutan daripada itu, bagi tempoh pemilikan sehingga 100,000 km, Hilux akan menggunakan 7,047.22 liter bahan api, sementara Triton hanya akan menggunakan sebanyak 6,369.42 liter. Ini mencatatkan perbezaan 677.80 liter – ini bermaksud, sepanjang tempoh itu, pemilik Triton jimat penggunaan diesel sebanyak RM1,477.60 jika didasarkan kepada harga siling diesel RM2.18 seliter. Bagi diesel Euro 5 pula, Triton akan jimat sekitar RM1,545.38 (pada harga RM2.28 seliter) berbanding Hilux.

Dengan taburan data daripada keputusan yang diperoleh ini, boleh disimpulkan bahawa Triton 2.4L lebih jimat penggunaan bahan apinya. Jika anda berhasrat untuk membeli trak pikap, jangan lupa untuk membaca artikel berkaitan perbandingan kos penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun bagi Triton, Hilux dan juga Ranger.

Sebagai tambahan, menarik juga untuk diingatkan bahawa cukai jalan bagi Triton juga lebih murah, sekitar RM793.60 berbanding Hilux yang dikenakan RM1,248. Apa pandangan anda tentang semua perkara yang dinyatakan ini? Mana satu pilihan yang lebih berbaloi untuk anda?

Hilux vs. Triton

Toyota Hilux 2.8L

Mitsubishi Triton 2.4L