Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

Walaupun wabak Covid-19 ketika itu sudah mula merebak, angka jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Februari 2020 masih berada pada tahap yang meyakinkan jika dibandingkan dengan Januari 2020. Perkara sama mungkin tidak akan berlaku bagi data bulan Mac 2020 nanti; terutama disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari yang sedang kita jalani ketika ini. Harapnya keadaan tidak akan menjadi lebih buruk selepas 31 Mac nanti.

Secara keseluruhannya, sebanyak 40,403 kenderaan dijual pada Februari 2020. Ini melibatkan peningkatan 1.5% atau lebih 590 unit berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 39,813 unit. Namun, ia sebenarnya 5.3% atau 2,249 unit kurang daripada pencapaian bulan Januari lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, keadaan itu disumbangkan antaranya oleh tempoh hari bekerja yang kurang disebabkan cuti Tahun Baru Cina serta kelewatan pengenalan model facelift dan baru seperti Honda Civic dan Accord.

Kerana dua model penting ini diperkenalkan pada hujung bulan, maka tidak menghairankan angka jualan Honda jatuh, hanya mencatatkan jualan 1,759 unit kenderaan dijual. Ini adalah penurunan sebanyak 71%, atau 4,301 unit. Itu membuatkan Honda tidak lagi dapat mempertahankan kedudukan ketiga yang dihuni sebelum ini.

Data jualan kenderaan bagi Februari 2020 ikut jenama

Kedudukan tiga teratas masing-masing menjadi milik Perodua, Proton dan Toyota. Bagi pendahulu, Perodua, sebanyak 18,895 unit terjual, mencatat kenaikan 8.1% berbanding 17,481 unit yang direkodkan pada Januari lalu – kemungkinan besar disumbang oleh model Bezza facelift. Proton pula mencatatkan lonjakan jualan tertinggi, iaitu sebanyak 17.3% menjadi 9,974 unit (daripada 8,506 unit) disebabkan oleh pengenalan X70 CKD.

Jualan Toyota juga meningkat 9.4% kepada 3,989 unit. Sementara Mazda pula menduduki tempat kelima dengan 1,102 unit terjual – hanya lebih dua unit berbanding Januari. Nissan pula turun ke tempat kelima dengan penurunan jualan 23.8% kepada 1,045 unit.

Bagi jenama premium pula, Mercedes-Benz kini mengikut jejak BMW untuk tidak mendedahkan angka jualan mereka – ia hanya akan dilakukan bagi tempoh suku tahunan sahaja bermula tahun ini. Selain itu, lain-lain jenama yang menunjukkan pertumbuhan positif ialah Porsche (naik 157.1%), Lexus (naik 111.1%) dan Volvo (naik 11.3%).

Sementara itu, bagi beberapa jenama lain juga Februari mencatatkan jualan yang positif, seperti Isuzu yang memperlihatkan peningkatan 21.9%. Namun, bagi beberapa jenama lain, jualan mereka juga menguncup – Renault (turun 55.1%), Hyundai (turun 53.8%) dan Peugeot (turun 37.4%).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required