Fiat telah mendedahkan model terkini trak pikap Strada untuk pasaran Brazil. Strada bakal dijual di bilik pameran di bawah satu lagi trak pikap Fiat yang lebih besar di pasaran berkenaan iaitu Fiat Toro. Ia sepatutnya dilancarkan terus di Brazil pada awal bulan ini, namun akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda yang menyebabkan kilang Fiat tutup, ia mungkin akan dirasmikan pada separuh kedua tahun ini, menurut laporan Motor1.

Berapa kecil sebenarnya Fiat Strada ini? Ia mempunyai panjang keseluruhan 4,480 mm dengan bed kargo belakang 1,174 mm dan lebar 1,059 mm. Untuk memudahkan anda membayangkannya, berbanding Ford Ranger, Strada adalah 874 mm lebih pendek. Trak pikap kompak ini mempunyai keupayaan mengangkat beban seberat 650 kilogram.

Dua pilihan enjin akan ditawarkan untuk Strada 2021. Model asas akan dibekalkan dengan enjin 1.4 liter berkuasa 88 hp dengan tork maksima 123 Nm, manakala satu lagi pilihan lebih berkuasa ialah enjin 1.3 liter berkuasa 109 hp dan tork maksima 139 Nm. Tiada pilihan kotak gear auto, di mana kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

Berbanding model sebelumnya, Strada 2021 ini menampilkan lampu hadapan dengan kedudukan lebih tinggi. Ketika dilancarkan nanti, ia akan hanya tampil dengan bentuk badan double cab empat pintu dengan bed belakang pendek, manakala versi single cab dua pintu bakal diperkenalkan kemudian. Model varian tertinggi akan dibekalkan dengan rel bumbung yang bersambung terus ke sports bar pada bed belakang.

Dalam kabin, Strada diberikan papan pemuka yang menempatkan skrin infotaimen tujuh-inci bersama suis kawalan pendingin hawa konvensional di bawahnya. Manakala suis-suia kawalan lain diletakkan sebaris di atas skrin berkenaan. Pemandu akan dibantu dengan meter kelajuan bersaiz besar dengan skrin pelbagai info diletakkan di tengahnya.

Fiat Strada 2021 ini dijangka akan dijual pada harga R$70,000 di Brazil atau sekitar RM58k. Ia juga dijangka akan dijual di Mexico dengan nama Ram Truck 700.