Walaupun pihak Polis DiRaja Malaysia bersengkang mata dan berkorban masa meninggalkan keluarga pada sebelah malam bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya, masih ada lagi segelintir masyarakat yang sengaja keluar dari rumah dengan alasan yang tidak munasabah, lapor wartawan Bernama yang menyertai operasi PKP dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sekitar daerah itu malam tadi.

Operasi selama empat jam tersebut turut disertai oleh Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar, dan menurut beliau setakat ini pematuhan arahan PKP semakin baik dan telah mencapai 98 peratus, walau masih ada segelintir yang ingkar.

Bernama mendapati segelintir individu bukan sahaja ingkar, malah ‘bijak’ mencipta 1001 alasan untuk tidak berada di kediaman masing-masing, meskipun jumlah mereka tidak begitu besar.

Antara alasan yang diberikan ketika ditahan seperti baru pulang bekerja walau bukan tergolong dalam kumpulan perkhidmatan penting seperti yang digariskan kerajaan selain ada memberi alasan menguruskan restoran, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pukul 10 malam, sudah melebihi waktu dibenarkan beroperasi iaitu hingga 8 malam sahaja.

Ada juga memberi alasan keluar mengisi minyak kenderaan sedangkan stesen minyak diarah tutup pukul 8 malam sepanjang tempoh PKP malah ada juga yang berada di perhentian bas dengan alasan menunggu kawan.

Walau bagaimanapun, tinjauan agensi berita tersebut bersama anggota polis di kawasan lot kedai, stesen minyak dan taman perumahan pula mendapati kebanyakan daripada mereka mematuhi sepenuhnya arahan PKP.

“Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima akal. Kita tidak boleh terima alasan tersebut dan kita terpaksa buat tangkapan terhadap orang yang melanggar perintah,” kata Marzukee. Setakat ini jumlah tangkapan dibuat IPD Nilai setakat ini adalah seramai 40 orang.

Beliau turut merayu kepada masyarakat agar terus mematuhi PKP dan kekal di kediaman masing-masing. “Kita hendak rantaian COVID-19 ini cepat putus, kita kena ikut apa yang diarahkan oleh kerajaan…duduklah di rumah dan hanya keluar apabila keadaan yang memerlukan sangat… ini pesanan saya,” katanya.

Sehingga petang ini, sebanyak 4,346 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 70-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

Hari ini masuk hari ke-24 PKP berlangsung, dan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, PKP fasa dua yang sepatutnya akan berakhir 14 April ini telah dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 28 April nanti.