Selain dari memberikan bantuan logistik dengan memberikan 50 unit Proton X70 untuk digunaka petugas kesihatan yang sedang berperang dengan wabak Covid-19, Proton dengan kelengkapan pengilangannya di Shah Alam kini akan menghasilkan 60,000 pelindung muka, iaitu komponen penting Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk membantu tugas barisan hadapan negara.

Menurut Proton, operasi pengeluaran dijangka akan bermula pada 13 April ini, di mana peralatan tersebut akan dihasilkan oleh kakitangan syarikat secara sukarela. Proton menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 60,000 pelindung muka berkenaan dalam tempoh kira-kira 20 hari.

“Sebagai sebuah jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong oleh tanggungjawabnya untuk membangunkan industri kereta tempatan dan juga untuk menyokong negara dan rakyat Malaysia sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan”, kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta jadi kami menggunakan kelebihan tersebut untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong wira-wira barisan hadapan negara dalam membendung penyebaran COVID-19.

“Pelindung muka yang dihasilkan akan dihantar secara berperingkat dan kami akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian untuk mengedarkan peralatan tersebut mengikut tahap keperluan di setiap daerah,” tambahnya lagi.

Menurut jenama automotif nasional itu lagi, mereka telah telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membenarkan sekumpulan kecil kakitangannya bekerja dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghasilkan pelindung muka tersebut di Shah Alam. Pergerakan dan waktu kerja mereka akan dipantau untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bagi memastikan Syarikat mematuhi peraturan PKP, PROTON telah mengehadkan bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses pengeluaran tersebut. Keselamatan mereka adalah penting, jadi kami akan mengamalkan jarak sosial dan melakukan sanitasi setiap masa di kawasan pengeluaran peralatan tersebut,” jelas Dato’ Radzaif.