Menerusi sidang media hariannya sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan tidak membenarkan e-Bazar dilaksanakan sempena Ramadan kali ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Harian Metro.
Menurutnya, keputusan itu diambil hasil mesyuarat hari ini, selepas meneliti dan mendengar pandangan Kementerian Wilayah melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Mesyuarat hari ini memutuskan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil tidak dibenarkan,” jelasnya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Walau bagaimanapun dalam laporan Astro Awani berhubung perkara berkaitan, menteri berkenaan menjelaskan bahawa kaedah pesanan dalam talian dan penggunaan perkhidmatan e-hailing masih dibenarkan untuk penghantaran seperti biasa,
“Apa sahaja berbentuk bazar… walaupun ada e-hailing (tidak dibenarkan). Kalau kita wujudkan (benarkan) bazar misalnya, 50 bazar sekelompok dan e-hailing (pekerja penghantaran) datang untuk mengambil makanan tersebut (jadi ramai orang), ianya tidak boleh dilakukan… sebab itu saya sebutkan tadi, bazar tidak dibenarkan.
“Tetapi perniagaan e-hailing biasa yang sekarang sudah dilaksanakan dan hantar ke rumah… itu boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.
Minggu lalu, Grab antara yang terawal hadir dengan idea memperkenalkan e-Bazar ini, dan mengumumkan bahawa platform jualan elektronik mereka akan dilaksana bersama majlis perbandaran tempatan, dimana kerajaan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan dilaporkan sudah berdaftar.
Menurut Grab, peniaga yang terpilih untuk menyertai e-Bazar Ramadan ini akan diberi latihan dan apabila beroperasi nanti, mereka cuma perlu menyediakan makanan atau minuman mengikut pesanan yang diterima dalam aplikasi, bungkuskan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan dan serahkan kepada rakan penghantar Grab yang akan menghantar kepada pelanggan.
Mengikut perancangan awal, e-Bazar Grab berkenaan akan beroperasi dari 24 April hingga 23 Mei 2020, dari jam lapan pagi hingga lapan malam, dengan lokasi bazar yang akan disediakan bakal diumumkan kemudian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.