Volkswagen Nivus sekali lagi ditunjuk dalam satu penampilan terbaru oleh cawangan operasi syarikat itu di Brazil, memperlihatkan dengan lebih jelas rekaan crossover dalam gaya coupe ini – walaupun sepenuhnya dibalut oleh pelekat samaran.
Model ini dibangunkan sepenuhnya di Brazil, dengan pengeluaran awalnya ditumpukan untuk bermula di negara Amerika Selatan terlebih dahulu. Nivus bagaimanapun turut dirancang untuk memasuki pasaran Eropah pada 2021.
Gambar rasmi terbaru ini nampak sangat mirip dengan versi yang didedahkan ketika sidang media tahunan Volkswagen sebelum ini, tetapi dengan rekaan bampar yang lebih sedikit berbeza; mungkin perbezaan bagi tingkat tawaran, termasuk rim 17-inci yang dilihat ini.
Penampilannya didorong oleh imej gril unik tiga jalur yang digunakan, dengan lampu depan yang tirus berbanding model T-Cross, serta rekaan segitiga pada bukaan udara di bawah. Rekaan garis bumbung Nivus juga kelihatan familiar, mengambil sedikit mirip dari Porsche Macan.
Ruang dalaman pula sama seperti yang dijangka sebelum ini; ia hampir sama dengan rekaan kabin pada T-Cross. Antara ciri utamanya ialah sisten infotainmen VW Play, bersekali dengan bantuan parkir, Start/Stop automatik dan pintu ruang barangan kuasa elektrik.
Nivus menggunakan platform MQB A0 oleh Volkswagen, yang pernah juga digunakan pada model lain termasuk T-Cross dan Polo generasi ke-enam; berkongsi jarak antara roda yang sama pada ukuran 2.56 meter, tetapi lebih panjang dengan 4.26 meter.
Berbanding T-Cross, Nivus ialah 60 mm lebih panjang, tetapi T-Cross mempunyai jarak antara roda yang lebih pada 2.65 meter. Ini membolehkan Nivus menawarkan kapasiti ruang barangan yang lebih besar iaitu 415 liter berbanding 373 liter pada T-Cross.
Bagi enjin, hanya ada unit 1.0 liter turbocas tiga-silinder TSI yang menghasilkan 128 hp dan 200 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan – tiada sistem 4Motion akan ditawarkan – melalui transmisi enam-kelajuan automatik. Manual enam-kelajuan? Mungkin ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.