Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengemaskini kempen selepas jualan “Welcome Back” yang memberikan manfaat tambahan kepada pemilik Volkswagen yang bertugas sebagai barisan hadapan (frontliner) dalam memperjuangkan pencegahan penularan COVID-19 di negara ini.

Manfaat baharu yang kini menjadi sebahagian daripada kempen berkenaan termasuklah tempahan yang diutamakan, pembersihan kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 10% untuk jumlah keseluruhan bil. VPCM berkata inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan bagi semua petugas barisan hadapan untuk meringankan beban mereka selain memberikan ketenangan pemilihan.

Bagi mendapatkan manfaat yang ditawarkan ini, mana-mana pemilik Volkswagen yang merupakan barisan hadapan perlulah memberikan butiran mengenai bidang masing-masing apabila mendaftar di laman web rasmi VPCM. Daripada situ, wakil jualan Volkswagen akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan, dan apabila sudah mendapat kelulusan, manfaat tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Volkswagen Cares mereka.

Pemilik tersebut akan menikmati manfaat tersebut untuk temujanji pra-temoahan, di mana ia boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan semua pusat servis dibuka semula. Untuk mereka yang bukan bertugas sebagai barisan hadapan, mereka akan menerima cenderahati percuma apabila mendaftar dalam tempoh kempen “Welcome Back” ini.

Untuk mereka yang belum menebus servis penyelenggaraan percuma atau pun bukan ahli Volkswagen Care Plus (VCP) layak untuk menerima baucer minyak enjin bernilai RM50. Syarikat ini juga akan terus melanjutkan tempoh waranti bagi kereta yang tidak dapat memenuhi jadual penyelenggaraan sepanjang tempoh PKP.