Sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, disebabkan tidak boleh melakukan aktiviti luar, ramai yang mencari cara sendiri untuk meluangkan masa. Rakan sekerja kami contohnya, siap dapat membuat model replika kecil yang menyamai kereta beliau (hasilnya boleh dilihat di sini), dan satu lagi contoh adalah hasil kerja pemuda dari Terengganu, Rozamil Yatim.
Beliau telah menghasilkan lukisan airbrush khas bertemakan PKP yang disembur ke atas helmet serta tangki minyak Yamaha RXZ, seterusnya mendapat perhatian ramai apabila gambarnya dimuat naik melalui akaun Facebook Zameer Pentbrush. Menurut laporan Harian Metro, ini adalah tanda Rozamil menyatakan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertugas menentang Covid-19 dan dibuat sebagai satu tanda kenangan.
Dalam lukisan tersebut anda boleh melihat, selain penggunaan warna-warna Jalur Gemilang, Rozamil turut meletakkan gambar individu penting seperti Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukan barisan hadapan.
Rozamil sememangnya mempunyai sebuah kedai menyembur cat dan airbrush tetapi disebabkan PKP, kedai beliau ditutup dan tempahan untuk pelanggan tidak dapat disiapkan. Dengan masa yang terluang di rumah, dan mengingati tempoh mencabar ini, muncullah pula idea untuk menghasilkan rekaan khas tersebut.
Sebuah syarikat di Kuala Lumpur juga dilaporkan berminat dengan rekaan yang dibuat oleh Rozamil ini dan perbincangan sedang dibuat untuk menghasilkan 5,000 biji helmet keluaran khas yang akan dijual kepada orang ramai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.