Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan semua pusat servis Sime Darby Auto Hyundai (SDAH)
telah kembali beroperasi selepas menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan, maka jumlah pelanggan dan juruteknik penyelenggaran dihadkan di setiap pusat servis. Pelanggan yang ingin menghantar kereta untuk diselenggara perlu membuat temujanji terlebih dahulu memandangkan SDAH tidak melaksanakan sistem walk-in.

HSDM turut berkata semua pusat servis akan mengikuti garis panduan keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan, seperti mengamalkan penjarakkan sosial dan kakitangan akan mengendalikan proses pembasmi kuman biasa. Semua kakitangan dan pelanggan juga akan disaring dan diperiksa suhu badan sebelum memasuki pusat servis, dan hand sanitiser juga akan disediakan di semua tempat yang disentuh pelanggan.

Untuk membuat temujanji, pelanggan dikehendaki menghubungi pusat servis SDAH atau penasihat penyelenggara. Waktu operasi buat masa ini dihadkan dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari biasa, dan 9 pagi hingga 12 tengahari pada hari Sabtu. Walau bagaimana pun, cawangan di Georgetown dan Prai akan beroperasi masing-masing pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan 9 pagi hingga 2 petang.