UMW Toyota Motor telah menyumbang sebanyak 10,000 unit kelengkapan pelindung diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Kelengkapan PPE ini dihasilkan menerusi kerjasama anak syarikatnya, Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd (TBU), sebuah syarikat usaha sama dengan Toyota Boshoku Corporation dari Jepun.

“Inilah masanya kami mahu berperanan sebagai syarikat korperat yang bertanggungjawab untuk membantu dengan cara yang termampu bagi memudahkan petugas barisan hadapan menunaikan kerja mereka. Kami mempunyai kemudahan yang boleh mengeluarkan PPE, maka kami membantu KKM untuk menambah jumlah stok dengan kadar lebih cepat – tanpa sebarang kos – berbanding terpaksa mendapatkannya dari luar negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

TBU yang terlibat dalam pengeluaran kerusi kenderaan, kemasan pintu serta pengalas yang digunakan pada kenderaan yang dipasang di sini, mempunyai kemudahan untuk mengeluarkan beberapa peralatan PPE dengan mudah.

Fasiliti berkenaan melibatkan mesin-mesin pemotong reka letak automatik serta mesin jahit industrial, dengan 75 orang pekerja mahir dalam menjahit kerusi kenderaan. Corak awal diperbuat daripada contoh unit seperti kasut pelindung, tudung dan baju yang kemudiannya dimuat naik ke mesin pemotong automatik. Rekaan akhir kelengkapan itu juga telah mendapat kelulusan KKM.

TBU dijangka mampu menghasilkan 1,500 unit PPE sehari dan penghantaran fasa pertama sebanyak 10,000 unit tersebut telah pun diserahkan kepada KKM.

“Toyota Motor Corporation dengan aktifnya menyokong apa juga usaha di banyak negara untuk mengatasi pandemik global ini. Sokongan tertakluk kepada keperluan, dan di Malaysia, kami sedar PPE menjadi keperluan mendesak bagi petugas kesihatan. Jadi, bersama anak syarikat kami, Toyota Boshoku Corporation, kami memberi tumpuan untuk membantu dengan cara ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.