Isuzu D-Max XTR Colour Edition 2020 telah diperkenalkan di UK, dengan penampilan lebih agresif disumbang oleh bodykit XTR dan disuntik dengan penggunaan warna hijau yang minimal sebagai kontras di beberapa bahagian.

Kelengkapan seperti bampar depan, pelindung bonet dan bingkai lampu utama diberikan warna penyudah yang sama dengan warna badan, sementara di bahagian lencana gril depan ada kemasan hijau. Trak pikap ini seterusnya dipasangkan secara eksklusif dengan rin 17-inci dalam warna hitam satin. Tayar menggunakan Pirelli Scorpion All-Terrain Plus sebagai standard.

Peralatan tambahan termasuk pemijak sisi berketahanan tinggi, direka untuk mengelakkan bahagian badannya dirosakkan oleh batu di permukaan tanah. Ia hadir dengan permukaan bertekstur untuk mengalirkan lumpur, pasir dan salji. Kemasan lain seperti perumah cermin sisi, pemegang pintu dan tingkap belakang semuanya diberikan kemasan warna hitam.

Di belakang, pintu ruang barangan didatangkan dengan spoiler serta lencana XTR, dan semuanya tampil dalam warna gelap, termasuk keliling lampu belakang dan hujung ekzos. Di bahagian bawah badanya pula boleh dilihat kelengkapan seperti penyerap hentak serta anti-roll bar dengan kemasan warna hijau.

Isuzu D-Max XTR Colour Edition ini turut menerima cakera brek depan berprestasi yang direka untuk memberikan rasa pedal yang konsisten, tahan lama serta dengan perlindungan anti-karat. Kaliper diberiken penyudah tona hijau yang sama, dengan pad seramik yang menawarkan lebih prestasi.

Bahagian suspensi, yang disediakan oleh Pedders, ditala untuk menampung keadaan pemanduan yang ekstrem. Suspensi depan mengunakan penyerap hentak unik bagi artikulasi yang lebih baik, dan meninggikan kedudukan kenderaan, memberikan jarak kelegaan tanaun 250 mm. Ini tidak mengorbankan pengendalian dan kestabilan pemanduan.

Roda stereng rata bahagian bawah digunakan, dibalut dengan kulit dan suede (jahitan tangan dengan benang hijau), tempat duduk dengan material sama serta jahitan logo XTR pada penyandar kerusi depan dan perehat kepala tengah kerusi belakang.

Harga dan bila trak ini akan mula dijual dalam pasaran bagaimanapun belum diumumkan. Isuzu D-Max 2020 XTR Colour Edition ini akan didatangkan dalam warna Splash White, Titanium Silver Met, Obsidian Grey Mica dan Cosmic Black Mica. Pengeluarannya pula adalah terhad.