Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengumumkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh fasa pertama, kedua dan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diberikan lampu hijau untuk meningkatkan kapasiti operasi mereka sepenuhnya tanpa sekatan mulai hari ini, 29 April 2020.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing. Di mana syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

Menurut beliau, sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan, syarikat terbabit akan diarah untuk menghentikan operasi serta-merta dan turut berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya.

Langkah tersebut diambil selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersidang semalam bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional, selain disertai Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

Menurut MITI, perbincangan tersebut tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

Pada 10 April lalu, kerajaan telah mengumumkan beberapa sektor tambahan telah dibenarkan beroperasi sepanjang PKP bagi tujuan menggerakkan ekonomi negara. Bagi industri automotif, ia hanya dihadkan untuk tujuan eksport kenderaan CBU serta peralatan dan komponen, dan pembukaan semula pusat servis bertauliah atau bengkel membaikpulih kenderaan.