Pengeluar motosikal dari Taiwan iaitu SYM telah melancarkan sebuah skuter baru dipanggil sebagai DRG BT untuk pasaran Jepun. Ia dijual pada harga 409,000 yen (RM16,500) dalam pilihan empat warna iaitu hitam, putih, hijau dan kelabu.

Nama DRG itu dikatakan diambil daripada perkataan dragon yang bermaksud naga dan ia digunakan sebagai inspirasi untuk rekaannya. Lampu hadapan LED skuter ini terletak di bahagian dada sementara panel meter digital yang terletak di bahagian atas pemegang tidak mempunyai sebarang penghadang.

Kuasa penggerak datang daripada enjin satu silinder penyejukan cecair 158 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta padanan transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa sebanyak 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 15.44 Nm tork pada 5,500 rpm.

Enjin ini juga adalah enjin generasi baru keluaran SYM yang datang sistem idling stop yang boleh mematikan enjin secara sendiri apabila berhenti sekejap seperti di lampu isyarat. Di bawah tempat duduknya pula terdapat ruang yang cukup untuk meletakkan helmet fullface.

Rim yang digunakan adalah bersaiz 13 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Kelengkapan lain yang terdapat padanya adalah termasuk tangki bahan api 7.4 liter, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, soket pengecas USB serta suspensi jenis monoshock di belakang.