VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

Jika ahli perniagaan dan selebriti di Malaysia sukakan MPV Toyota Alphard dan Vellfire sebagai pengangkutan yang memberikan mereka satu ruang privasi ketika bergerak, lain pula halnya untuk pelumba Super GT dan drifter bekas juara D1GP, Nobuteru Taniguchi – dia telah mengubahsuai sebuah van Toyota Hiace untuk tujuan itu.

Baru-baru ini, beliau berkongsi dengan peminat berkenaan spesifikasi van Hiace tersebut menerusi saluran Youtube peribadi miliknya. Sebagai asas, Taniguchi memilih varian badan Hiace Commuter dengan jarak roda paling panjang, paling lebar serta bumbung paling tinggi. Kemudian ia dihantar ke pakar ubahsuai Hiace di Jepun iaitu Car Revolution Style (CRS) untuk menjalankan kerja-kerja transformasi.

Konfigurasi 12 tempat duduk asal Hiace berkenaan telah diubahsuai menjadi empat tempat duduk sahaja. Ini membolehkan dia mendapat satu ‘ruang tamu’ yang sangat luas pada bahagian tengah dengan bahagian kargo belakang diasingkan dengan satu pembahagi dibuat di belakang sepasang tempat duduk kapten.

Ruang ini juga diberikan karpet yang agak tebal seperti karpet rumah, dan anda tidak dibenarkan untuk memakai kasut (kasut boleh diletak dalam tray gentian karbon sebenar yang dibuat oleh HKS untuknya!) disini. Dengan ruang yang besar dan tinggi ini, Taniguchi bukan sahaja boleh berehat di litar sambil menonton TV dalam van ini, malah beliau turut boleh menukar sut lumba di sini.

VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

Ruang kargo juga cukup besar – dengan lantai checkered plate yang dipasang, membolehkan sebuah basikal downhill lengkap diletakkan pada bahagian ini, bersama pelbagai storan lain di bahagian atas dan juga satu ruang untuk menggantung baju.

Manakala pada bahagian kokpit, tempat duduk asal Hiace telah digantikan dengan sepasang tempat duduk lebih sporty dari Bride yang lengkap dengan pemanas. Kemudian tombol gear ditukar dengan tombol yang lebih sporty, dan roda stereng asal juga sudah tidak lagi digunakan, diganti dengan unit yang diperbuat dari gentian karbon dan dibalut dengan kulit.

Pada bahagian luaran, van ini menerima warna badan hitam dengan lampu hadapan dan belakang ditukar kepada komponen aftermarket yang menampilkan grafik LED. Badan van ini direndahkan tanpa menyebabkan keselesaannya hilang menerusi pemadanan set suspensi lengkap terdiri daripada penyerap hentak boleh laras dan spring HKS Genb Cloud Walker.

Set roda asal juga telah ditukar dengan rim keluaran CRS dari siri Essex dengan diameter 19-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 225/45R19. CRS juga telah melebarkan kesemua ruang roda Hiace ini bagi memastikan ia sesuai dengan set roda baharu.

VIDEO: Nob Taniguchi tayang Toyota Hiace miliknya

Taniguchi memilih Hiace yang dijana oleh enjin petrol 2TR-FE Dual VVT-i 2.7 liter yang menurutnya ia lebih senyap dan mesra alam berbanding versi 2.8 liter turbodiesel. Tiada pengubahsuaian dilakukan pada enjin berkenaan, kecuali sistem throttle controller elektronik dari Blitz yang dapat mengubah respon pendikit tanpa kabel Hiace ini dengan respon yang lebih baik.

Nama Nobuteru Taniguchi sememangnya sangat sinonim dengan HKS kerana beliau berjaya dinobatkan sebagai juara D1GP pertama dengan jentera Nissan Silvia S15 pasukan HKS, dan sehingga kini masih memandu GR Supra HKS untuk kejohanan tersebut. Dia juga pengemudi tetap untuk jentera-jentera Time Attack HKS Tsukuba Record Breaker atau TRB – TRB-01 Toyota Altezza, TRB-02 Mitsubishi Lancer Evo VIII, TRB-03 Toyota 86 dan TRB-04 Suzuki Swift Sport- yang memecahkan pelbagai rekod terpantas di litar Tsukuba, Jepun.

Taniguchi juga tidak asing dengan Malaysia kerana pernah memandu jentera GT300 Mazda RX-7 pasukan RE Amemiya yang ditaja oleh M7, dan BMW Z4M Pasukan Petronas Syntium bergandingan dengan pelumba negara ‘Wak Tempe’ Fariqe Hairuman dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance 2009.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required