Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali rel urban dan bas henti-henti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain serta perkhidmatan Rapid Ferry, memaklumkan, semua perkhidmatannya beroperasi mengikut waktu normal daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam mulai hari ini, 4 Mei 2020.
Langkah ini diambil susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, yang menyatakan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) adalah bagi membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat. Walau bagaimana pun, hampir kesemua operasi yang dibenarkan itu tertakluk dengan syarat-syarat dan prosedur ketat bagi memastikan usaha mencegah penularan wabak COVID-19 terus diperkasakan.
“Selaras dengan itu, bagi menggalakkan penjarakan sosial di dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan daripada 7 pagi hingga 11 pagi untuk waktu puncak pagi; dan antara pukul 4 petang hingga 7 malam untuk waktu puncak petang bagi semua perkhidmatan. Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu-waktu ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Muhammad Nizam Alias.
Kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit, manakala untuk LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit. Perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang pula mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit.
Bagi mendapatkan jarak yang sesuai bagi penjarakan sosial, pihaknya terpakda mengehadkan jumlah penumpang untuk setiap satu perjalanan. Di mana untuk perkhidmatan tren, hanya menampung 50% penumpang daripada kapasiti penuh dan 30% untuk bas.
Tambahnya lagi, “Kami akan meletakkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial di dalam tren. Tentunya, ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Jadi, kami memohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka.
“Kuasa untuk meneruskan usaha memutus rantaian penularan COVID-19 adalah di tangan orang ramai dan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Anda mesti bersedia melakukan penjarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain. Tren dan bas akan mempunyai tanda-tanda khas untuk membantu urusan penjarakan sosial dalam bas dan tren. Kita jaga kita,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para penumpang rel, bas dan feri untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung di samping mengamalkan penjagaan kesihatan peribadi khususnya mencuci tangan dengan cecari pembasmi kuman atau hand sanitisers, yang akan diletakkan di semua stesen-stesen tren LRT, MRT, monorel dan BRT, hab-hab bas dan pangkalan-pangkalan feri.
“Kerja-kerja membasmi kuman di stesen-stesen dan hab-hab bas serta di dalam tren dan bas-bas kendalian Prasarana dan juga feri akan diteruskan secara gigih seperti masa-masa lepas. Staf-staf yang bertugas khususnya Kapten-kapten bas, anggota Polis Bantuan dan staf-staf stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja masing-masing,” katanya.
Maklumat penuh mengenai jadual perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana boleh didapati daripada laman-laman media sosial di Facebook @myrapid, Twitter @MyRapidKL atau menerusi talian 03-78852585.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.