Kia telah mendedahkan imej dan perincian pertamanya mengenai model facelift Picanto, yang dijual di Korea Selatan dengan menggunakan nama Morning. Terdapat beberapa semakan yang dibuat, bersama dengan penyatuan beberapa ciri standard pada model semasa bagi varian GT LIne dan X-Line kepada model tunggal, Urban.

Masih mengekalkan elemen estetika yang sporty seperti pada varian GT Line, Picanto facelift ini telah direka semula bahagian hadapannya, dengan gril “tiger nose” menerima kepingan krom dan bawah hujungnya yang lebih bertekstur. Ia turut disambungkan pada lampu utama baharu, dengan ciri lampu nyalaan siang LED empat-poin, diapit oleh projektor halogen yang dibentukkan semula.

Selain itu, bampar hadapannya juga telah diprofilkan semula dengan gril bawah enam-poin yang masih mengekalkan lampu kabus bersudut di sekelilingnya. Kemasan hitam berkilat pula menyambungkan gril bawah dengan corong udara yang terletak pada sudut hadapan, kini ditampilkan dengan fins pada bahagian tepi luarnya.

Bahagian belakangnya juga disemak semula dengan lampu tiga-dimensi, reflektor melintang yang lebih nipis dan lampu undur serta corong tiruan yang ditempatkan di sudut belakang. Bagaimana pun, corong paip dwi-krom pada varian GT Line telah digantikan dengan corong palsu pada sisi diffuser. Model facelift ini juga menampilkan warna kemasan kuning Honeybee dan juga pilihan roda aloi 14- dan 16-inci.

Di dalamnya pula, perubahan yang dilakukan hanya sedikit sahaja, iaitu kemasan dekorasi tona jingga. Teknologi di dalam kereta diberikan peningkatan pada paparan pelbagai-fungsi berwarna 4.2-inci sebagai pilihan dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci.

Turut menampilkan sistem navigasi UVO yang menawarkan ketersambungan Internet, membolehkan pengguna untuk mengawal beberapa fungsi kenderaan seperti mengunci pintu dan juga kawalan suhu menerusi aplikasi telefon pintar. Turut ditambah peta yang dipertingkatkan, ketersambungan untuk peranti rumah, ketersambungan peranti Bluetooth dan kawalan suara dengan menggunakan teknologi Kakao AI. Tempat duduk pemandu juga ditawarkan dengan pengudaraan sebagai pilihan.

Turut dipertingkatkan ialah aspek keselamatan. Model semasa Picanto telah pun dilengkapi dengan brek kecemasan sendiri, dan versi facelift ini telah ditambah dengan kamera yang diletakkan di atas cermin hadapan, serta menampilkan beberapa ciri ekstra termasuk amaran ketibaan lorong dan lane centring assist yang pertama dalam segmennya. Selain itu, fungsi pemantauan titik buta dan kepekaan lintasan trafik pelakang juga telah dimasukkan untuk model facelift ini.

Barisan enjin telah digabungkan dengan pilihan 1.0 liter tiga-silinder dan 1.25 liter empat-silinder petrol serta versi pengecas turbo, tetapi pembeli di Korea hanya akan menerimanya dengan padanan tiga-silinder naturally-aspirated.

Versi Smartstream terkini memberikan hamburan kuasa 76 PS pada 6,200 rpm dan tork 95 Nm pada 3,750 rpm, meningkat 9 PS dan kurang 1 Nm berbanding enjin sebelum ini. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan dan Kia mendakwa penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 15.7 km per liter.