Lanjutan dari kebenaran diberikan kerajaan untuk aktiviti ziarah sempena Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin 10 Mei lalu, hari ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan lebih lanjut bahawa ia hanya dihadkan pada hari pertama, lapor Berita Harian.

Ia bukan hanya untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini, malah turut melibatkan sambutan Pesta Keaamatan dan Hari Gawai. Menurut Ismail lagi, keputusan itu dicapai melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam, dalam usaha mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Beliau turut menjelaskan bahawa, prosedur operasi standard (SOP) mengenai ziarah yang mengehadkan aktiviti saling berkunjung itu hanya membabitkan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20-orang seperti yang disebut oleh PM tempoh hari masih lagi kekal.

“Had 20-orang ini juga mengikut saiz rumah. Contohnya, jika flat berukuran 600 kaki persegi, 20 orang itu mungkin terlalu ramai dan tidak boleh buat penjarakan sosial.

“Justeru, mungkin lima orang dibenarkan masuk untuk ziarah pada satu-satu masa, sehingga mencapai kuota 20 orang pada hari pertama perayaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, sebentar tadi.