Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan mulai hari ini, 18 hingga 21 Mei 2020, pemberian diskaun sehingga 50% bagi saman-saman terpilih jika membuat pembayaran secara dalam talian melalui dua portal yang ditetapkan JSPT.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata dua portal berkenaan adalah www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

“Semua saman layak mendapat diskaun berkenaan kecuali saman kemalangan tahun 2019 dan 2020, saman dalam perbicaraan, saman OP Selamat tahun 2019 dan 2020, saman berstatus NC (Non Compoundable), saman berstatus mahkamah dan berkaitan lori serta saman berstatus waran tangkap,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau turut memaklumkan, membuka kaunter perkhidmatan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) secara berperingkat juga mulai hari ini. Ia bertujuan memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman serta pembekalan dokumen-dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

Di mana kaunter perkhidmatan akan dibuka pada Isnin hingga Rabu bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang bagi IPK Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan).

Pada hari Jumaat, kaunter akan dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan kesemua kontinjen berkenaan. Bagi IPK Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu kaunter hanya beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Ahad dari 9 pagi hingga 2 petang.

Azisman turut menyeru orang ramai yang ingin berurusan di kaunter-kaunter itu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.