Jumaat lalu sejumlah 508 kenderaan telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Dan semalam nampaknya jumlah berkenaan telah meningkat lebih sekali ganda setelah lagi 1,248 dikesan membuat kesalahan yang sama, lapor Astro Awani.

Perkara ini disebut oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya yang berlangsung di Putrajaya sebentar tadi. Menurutnya, kesemua yang berusaha merentas negeri itu bagaimanapun telah diarahkan berpatah balik oleh polis.

“Kelmarin 508 kenderaan telah diarah patah balik kelmarin, untuk semalam (Sabtu) pula 1,248 kenderaan cuba rentas negeri untuk ke balik kampung telah diarah berpatah balik.

“Maknanya lebih sekali ganda rakyat yang cuba untuk cuba ‘curi-curi’ balik kampung dengan pelbagai alasan dan masih nak balik kampung,” katanya. Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak yang masih menyimpan niat untuk merentas negeri agar melupakan hasrat berkenaan.

“Jadi saya harap tak perlu balik (kampung) kerana apa yang kita tahu mereka ini setelah bersiap sedia selepas sahur terus nak balik kampung bawa anak isteri, kemudian apabila sekatan jalan raya, mereka kena berpatah balik. Ketika ini, PDRM masih bertindak menyuruh berpatah balik, jangan nanti kalau polis kompaun RM1,000, yang rugi kita,” tegas beliau.

Mengulas mengenai mereka yang sudah ‘terlepas’ dan berjaya merentas negeri pula, Ismail Sabri berkata, tiada jaminan individu berkenaan boleh melepasi sekatan jalan raya untuk pulang semula tempat asal.

“Bagi mereka yang terlepas daripada sekatan, seronoklah mereka. Namun, saya ingin mengingatkan mereka, selepas sekatan jalan raya balik nanti, tidak bermakna mereka boleh terlepas balik ke ibu negara.

“Mungkin mereka beri alasan dan lepas dengan polis. Namun balik nanti belum tentu mereka terlepas dan tiada jaminan mereka boleh terlepas pulang nanti untuk ke tempat kerja semula,” tegasnya.

Selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.