SYM VF3i 185 LE – kuasa ditambah, brek ABS, RM9.3k

SYM VF3i 185 LE – kuasa ditambah, brek ABS, RM9.3k

Selain skuter SYM Maxsym TL 500, MForce Bike Holdings Sdn Bhd juga telah melancarkan VF3i 185 LE melalui pembentangan atas talian hari ini. Harga jualannya adalah RM9,338 tidak termasuk insurans, sekaligus menjadikannya sekitar RM1k lebih mahal berbanding model VF3i biasa yang dijual sebelum ini.

Sebagai sebuah model yang dipanggil sebagai versi Limited Edition, VF3i 185 LE ini datang dengan panel badan yang kebanyakannya berwarna hitam matte dan diserikan dengan jalur pelekat warna hijau terang. Rim juga berwarna hijau, sementara penghadang angin kecil di atas perumah lampu diberikan terus secara standard.

Pembaharuan pada model LE ini tidak terhenti setakat pada penampilan kerana enjinnya turut dipertingkat. Ia masih lagi menggunakan unit satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair seperti sebelum ini, tetapi bahagian head dan throttle body (30 mm) dipertingkat untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm (sebelum ini 17.7 hp dan 16.67 Nm).

Selain daripada itu, VF3i 185 LE turut dipasang dengan brek jenis ABS dan MForce mendakwa ia adalah kapcai pertama di Malaysia yang mempunyai ciri brek keselamatan tersebut. Bahagian lain yang dipertingkat adalah termasuk lampu belakang LED, panel meter serta tuil brek dan klac aluminium yang boleh dilaras.

Bahagian lain kebanyakannya adalah sama seperti VF3i sebelum ini, termasuk rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api tujuh liter, berat 124 kg, kotak gear enam kelajuan, brek cakera tunggal 250 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, serta penarafan Euro 3.

SYM VF3i 185 LE didatangkan bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Pemburuharam on May 19, 2020 at 10:30 pm

    Dahsyat!!!
    Kapcai je pun
    Pakej 19.7hp abs std kilang …perhhhh!!! Mantap arr..
    Mau termenung pentaksub2 jenama.. serius mmg blh buat sasau ni bg peminat moped
    #paultan kasi review 1 test ride cpt sikit

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required