Dengan keuntungan tahunan yang merudum sebanyak 89%, Mitsubishi Motors mensasarkan untuk memotong kos tetap sebanyak 20% atau lebih dalam tempoh dua tahun ini untuk membolehkannya kekal kompetitif, lapor Reuters.

Selaku pengeluar kenderaan keenam terbesar di Jepun, Mitsubishi melaporkan keuntungan operasi sebanyak 12.8 bilion yen (RM517 juta) bagi tahun berakhir pada Mac, jatuh dengan sangat ketara berbanding 111.8 bilion yen (RM4.5 bilion) yang dicapai tahun lalu. Tiada ramalan pendapatan didedahkan oleh syarikat itu untuk tahun ini.

Dengan Covid-19 menjadi salah satu faktornya, syarikat itu sebenarnya telah berdepan dengan situasi mencabar sejak tahun lalu. Ia telah menjual 1.13 juta kenderaan di peringkat global setakat Mac lalu, turun 9% daripada tahun sebelumnya. Jualannya di China dan di pasaran Asia Tenggara yang lebih besar juga merudum – terdiri daripada suku daripada jumlah jualan keseluruhan.

Mitsubishi Motors berkata, ia akan kekal komited kepada Asia Tenggara, dan akan menumpukan perhatian terhadap pertumbuhan di negara-negara ASEAN untuk terus kekal beroperasi selepas kesan pandemik ketika ini. Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan oleh pakatan Renault–Nissan–Mitsubishi.

“Sebelum virus merebak, kami telah mempertimbangkan untuk mengenal pasti segmen kenderaan serta pasaran yang kurang berprestasi untuk mengurangkan kehadiran kami. Selepas mengharungi wabak virus terbaru ini, kami perlu mempergiat usaha untuk melakukan perubahan tersebut. Untuk kekal competitive dalam pasaran pasca-coronavirus, kami perlu memperkecilkan kawasan operasi dan memberi tumpuan kepada rantau dan segmen yang menunjukkan prestasi,” jelas CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

Pengeluar kenderaan berhadapan dengan masalah besar kesan daripada pandemik ketika ini. Terdahulu, Honda melaporkan keuntungan operasinya tahun ini jatuh 13%, sementara Toyota pula yang walaupun mencatatkan 2.44 trilion yen (RM98.7 bilion) tahun ini, menjangkakan keuntungan akan jatuh sebanyak 80% untuk tahun depan.