Sepanjang bulan Jun 2020, Proton akan menawarkan lebih nilai untuk menarik minat pembeli; pelanggan yang membeli Proton X70 layak untuk menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Bermula 10 Jun, Proton juga akan memperkenalkan satu program khas bagi menghargai petugas barisan hadapan Malaysia khususnya para jururawat, doktor, anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Program Perlindungan Credit Shield menawarkan perlindungan insurans peribadi sehingga RM50,000 selama lima tahun termasuk kematian, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal kepada mereka yang layak yang membeli mana-mana model Proton.

“Pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan Covid-19 di Malaysia sangat tidak ternilai. Kami berharap agar tawaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat menunjukkan penghargaan kami terhadap jasa yang telah disumbangkan oleh mereka.

“Bagi pakej pembiayaan Proton X70, tawaran tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pembeli untuk memiliki SUV premium Malaysia dengan harga yang lebih berpatutan yang kini lebih berbaloi dengan adanya penapis kabin N95 yang baharu,” tambah CEO Proton, Dr Li Chunrong.