Yamaha MT-09 2020 kini diperkenalkan dengan pilihan warna baru, dan dijual pada harga RM48,920 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Harga ini sebenarnya tidak terlalu berubah daripada penawaran model berkenaan sebelum ini; pada tahun 2018, ia dijual pada harga RM47,388.

Pilihan warna baru bagi Yamaha MT-09 2020 ialah Yamaha Racing Blu; satu lagi warna yang dikekalkan ialah Ice Fluo. Dari segi enjin juga tiada apa yang berubah. Ia masih mengekalkan unit 847 cc yang menghasilkan 115 hp pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm.

Kuasa dari enjin pula disalurkan melalui kotak gear enam-kelajuan, dengan ciri klac Assist & Slip (A&S) yang memudahkan lagi kendalian tuil klac untuk penunggang disamping mengelakkan tayar belakang tergelincir ketika penunggang menurunkan gear secara agresif.

Sistem lampu LED digunakan sebagai unit utama. Lain-lain ciri standard termasuklah ABS dan kawalan cengkaman, berserta quickshifter untuk menaikkan gear tanpa menggunakan klac. Suspensi pula menggunakan fork terbalik 41 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan unit monoshock dengan larasan pre-load.

Tangkin minyak motosikal ini berkapasiti 14-liter, dengan kedudukan tinggi pelana ialah 820 mm. Brek depan pula menggunakan cakera berdiameter 298 mm berkembar, sementara cakera tunggal di belakang. Berat basah motosikal ini ialah 193 kg. Versi tahun 2020 bagi MT-09 boleh didapati melalui pengedar bermula minggu ini.