Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

Naza Italia telah pun melancarkan Maserati Levante Trofeo, versi yang paling berkuasa bagi model SUV Trident yang diperkenalkan pada April 2018. Pengeluaran model ini hanya sebanyak 100 unit untuk pasaran global, dan untungnya kita menerima tiga unit untuk dijual di negara ini.

Model edisi terhad ini dijual pada harga RM838,800 (sebelum cukai) dan ditawarkan dengan tiga warna luaran bagi Launch Edition, termasuklah Blu Emozione Matte (biru), Giallo Modenese (kuning) and Rosso Magma (merah), dengan pakej Nerissimo (bingkai tingkap hitam dan pemegang pintu sama dengan warna badan).

Apa yang membuatkan Launch Edition lebih menyerlah berbanding Levante Trofeo biasa ialah perinciannya yang lebih spesifik, bermula dengan roda aloi pelbagai-jejari 22-inci dengan kemasan matte. Malah turut dihadirkan dengan kaliper brek sama ada dengan tona biru, merah atau kuning iaitu mengikut warna luarannya.

Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

Di dalamnya pula, setiap unit dilengkapi dengan lencana tersendiri yang ditempatkan di konsol tengah dengan perkataan “One of 100” untuk menunjukkan eksklusivitinya. Malahan jahitan kontras pada beberpaa bahagian kabin – termasuk tempat duduk balutan kulit “Pieno Fiore” – bersama logo Trofeo yang disulam pada perehat kepala, juga disuaipadan dengan warna luaran jentera ini.

Lain-lain ciri yang menyerlahkannya termasuklah kemasan gentian karbon matte “3D Touch”, alas lantai dengan lencana metal Trofeo, jam analog Maserati yang unik pada papan pemuka dan instrumen kluster dengan grafik Trofeo.

Selain daripada ciri Launch Edition yang eksklusif ini, rekaan lainnya masih sama dengan model standard Levante Trofeo. Ini temasuklah gril baharu dengan dua palang menegak berwarna hitam, bonet dengan pengudaraan, corong pengambilan udara besar dengan bilah gentian karbon, gril yang menyerlah di dalamnya, bersama pemisah hadapan gentian karbon serta skirt sisi.

Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

Pada belakangnya pula, ditampilkan pula diffuser gentian karbon dengan corong ekzos bulat, logo unik Trofeo pada tiang-C, dan signitur syarikat dengan “Saetta” yang kelihatan pada lencana Levante pada tailgate.

Sudut mekanikalnya masih sama, dengan enjin 3.8 liter turbo-berkembar V8 buatan Ferrari, dengan hamburan kuasa 598 PS (590 hp) pada 6,250 rpm dan tork 730 Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda Q4.

Bagi prestasinya, SUV ini hanya mengambil masa sekitar 3.9 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 304 km/j. Dengan kuasa brek padu, jentera seberat 2,170 kg ini boleh berhenti dari pecutan 100 km/j dalam jarak antara 34.5 meter.

Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – hanya 3 unit, 590 hp; dari RM838,800

Trofeo turut didatangkan dengan mod pemanduan Corsa baharu dan fungsi launch control, yang turut memberikan kesan terhadap karakteristik peredam adaptif Skyhook dan suspensi udara yang boleh merendahkan ketinggian jentera. Dalam mod Corsa, kawalan cengkaman dan sistem kestabilan jentera ini turut memberikan keseronokan pemanduan pada tahap maksimum.

Ciri standard yang ditawarkan termasuklah sistem infotainmen Maserati Touch Control Plus dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu empat-zon, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, pedal penukar gear, tailgate larasan kuasa, lampu utama LED adaptif, bumbung matahari panoramik dan sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,280-watt dengan 17-pembesar suara.

Harga yang dinyatakan di atas hadir dengan waranti tiga-tahun/perbatuan tanpa had dan juga program penyelenggaraan percuma tiga-tahun/60,000 km. Jika pelanggan yang menempahnya dalam sepanjang Jun ini, akan berpeluang menerima program waranti “Serenity” eksklusif selama tujuh-tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required