Hari ini merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung yang membolehkan rakyat Malaysia kembali bergerak merentas negeri. Walaupun fasiliti penuh hentian Rehat dan Rawat (RNR) di lebuhraya hanya akan beroperasi sepenuhnya 15 Jun ini, surau dalam kawasan berkenaan kini sudahpun boleh digunakan seperti apa yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Walau bagaimanapun pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan pengguna yang mahu menggunakan kemudahan berkenaan agar membawa kelengkapan solat seperti sejadah, kain pelikat dan telekung sendiri sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna dalam mengekang penularan wabak Covid-19, lapor Alhijrah Online.

“Bagi menjaga kebersihan dan mengekang penularan Covid-19 kita tidak lagi akan sediakan sejadah, telekung, dan kain pelikat di surau kita,“ kata Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz kepada portal berita tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah individu yang dibenarkan solat pada satu-satu masa bergantung kepada saiz surau terbabit dan pihaknya akan meletakkan notis di luar surau untuk rujukan.

Menurutnya lagi, garisan penjarakan sosial di dalam surau juga dibuat dan beliau berharap pengguna akan memberi kerjasama dan mematuhi SOP ditetapkan. Malah pada peringkat awal ini akan ada pegawai PLUS yang ditempatkan di RNR untuk memastikan kepatuhan SOP yang ditetapkan.