Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pertama kali memperkenalkan sistem bidaan plat nombor kenderaan menerusi dalam talian JPJeBid sejak April tahun lalu. Menerusi JPJeBId, sistem elektronik itu lebih telus ekoran tiada campur tangan manusia dan proses pembidaan serta keputusan lebih singkat serta menjimatkan kos dokumentasi. Sebelum ini, siri plat nombor unik atau istimewa dikendalikan oleh NGO, di mana tidak semua keuntungannya akan diperoleh JPJ.

Selepas mengimplementasikan sistem ini, JPJ telah mendedahkan angka kutipan yang diperoleh iaitu mencecah RM110,289,072 daripada 97 siri plat nombor sehingga sekarang. Di mana ia mencapai purata lebih kurang RM1,137,001 bagi setiap siri.

Pada 2019, sebanyak 54 siri plat nombor telah dibuka untuk bidaan menerusi JPJeBId, dengan mencapai keuntungan keseluruhan mencecah RM61,962,724, atau secara purata sebanyak RM1,147,458 untuk setiap siri. Untuk tahun 2020 pula, setakat ini, sebanyak 43 siri plat nombor telah dikeluarkan dan JPJ telah mengutip sebanyak RM48,326,348, atau secara purata cecah RM1,123,869 bagi setiap siri.

Siri plat nombor terbaharu, SYG, telah memberi keuntungan kepada JPJ sebanyak RM3.4 juta selepas lima hari bidaannya dibuka secara dalam talian. JPJ berkata, kutipan tersebut adalah RM100,254 lebih tinggi berbanding siri ALL pada tahun lalu. Mulai hari ini pula, JPJ membuka bidaan bagi siri plat nombor VEV menerusi JPJeBid yang berlangsung sehingga 22 Jun 2020.