Sebelum ini Lego telah menghasilkan set skala kecil untuk Ducati Panigale V4R, yang dijual pada harga sekitar RM280 dan terdiri daripada 646 kepingan Lego. Kini, untuk projek istimewa bersama Ducati, mereka menghasilkan pula replika saiz sebenar yang menggunakan panel badan kepingan Lego.
Untuk menjadikan projek ini satu realiti, Lego telah menggunakan khidmat Riccardo Zangelmi, yang mengambil masa 400 jam untuk menyiapkannya. Secara keseluruhan, ia menggunakan 15,000 kepingan Lego dan mempunyai berat keseluruhan 180 kg dan lebih berat daripada motosikal sebenar.
Zangelmi juga tidak mahu menggunakan sebarang perisian komputer seperti CAD untuk menghasilkan model istimewa ini, dan beliau terpaksa membuka dan memasangnya semula sebanyak lapan kali bagi memastikan binaannya sempurna.
Tiada sebarang gam yang digunakan pada kepingan Lego ini dan ia dipegang menggunakan pin dan blok khas. Kebanyakan kepingan Lego itu adalah berwarna merah, hitam dan kelabu, untuk memastikan ia sama seperti Panigale V4R sebenar.
Model Lego saiz sebenar Ducati Panigale V4R ini ditunjukkan secara rasmi di litar Modena dan didedahkan oleh pelumba MotoGP pasukan Ducati, Andrea Dovizioso bersama CEO Ducati, Claudio Domenicali dan pengarah urusan Lego Italy, Paolo Lazzarin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.