BMW X6 G06 dilancarkan di Malaysia April lalu bersama dengan 8 Series Gran Coupe G16 – menjadi tambahan terbaru kepada barisan model sedia ada X5 G05 dan G07 X7 oleh BMW Malaysia.

Dalam galeri ini, yang ditampilkan ialah model BMW X6 in xDrive40i M Sport, varian tunggal yang ditawarkan pada harga RM703,947 atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan (harga dengan SST ialah RM729,800). Ini termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima-tahun pakej servis percuma.

Ia mengguna enjin B58 3.0 liter turbocaj enam-silinder sebaris petrol yang menjana 340 PS (335 hp) dari 5,500 hingga 6,5000 rpm dan 450 Nm dari 1,500 kepada 5,200 rpm. Ini dipadankan pula denga kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic dan sistem pacuan semua roda xDrive – pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan laju maksimum 250 km/j.

Dari segi penampilan, model ini berbeza daripada X5 antaranya dapat dilihat pada rekaan “kidney grille” yang menggunakan iluminasi gril “Iconic Glow”, serta penggunaan lampu utama Laserlight adaptif dengan DRL tiga dimensi.

BMW X6 ini datang dengan sistem infotainmen Live Cockpit Professional, yang termasuk di dalamnya dua paparan 12.3-inci dan BMW Operating System 7.0 yang boleh dikawal menggunakan skrin sentuh di tengah, kawalan gerak tangan, iDrive atau sistem kawalan suara Intelligent Personal Assistant.

Kelengkapan standard yang lain antaranya terdiri daripada lampu kabus LED, sistem tanpa kunci, suspensi adaptif M Sport, sistem ekzos M Sport, kawalan pendingin empat zon, bumbung panoramik, sistem bunyi Harman Kardon 464-watt dengan 14-speaker, pengecas tanpa wayar Qi serta BMW Display Key.