Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar mengesahkan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu sepanjang 10 km dijangka boleh digunakan secara empat lorong dalam masa dua minggu lagi.

Pembukaan laluan berkenaan turut membabitkan jalan sepanjang Kampung Gana hingga Kampung Kawang.

“Pembinaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap dan boleh digunakan pada awal atau pertengahan Julai hadapan. Manakala jarak keseluruhan projek sejauh 15.8 km antara Kampung Gana ke Kampung Limauan pula dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Beliau menambah, langkah itu adalah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengurangkan kemalangan disebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Kontraktor bertanggungjawab diarahkan untuk memperbanyakkan papan tanda amaran bagi setiap satu kilometer supaya pengguna lebih peka sepanjang pemanduan.

“Papan tanda itu penting untuk memastikan pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan yang masih dalam proses pembinaan. Selain itu polis perlu lebih kerap membuat pemantauan di kawasan jalan Lebuhraya Pan Borneo yang berisiko seperti di kawasan Kampung Kawang ini yang mana terdapat kemalangan maut berlaku di sini baru-baru ini,” katanya lagi.