UMW Toyota Motor telah mengumumkan pembukaan pusat 4S terbaharunya yang telah pun beroperasi di daerah Muar, Johor. Dikendalikan oleh E.S. Yang Motor Sdn Bhd, pada awalnya ia merupakan tiga premis yang berasingan walau pun terletak dalam satu daerah yang sama. Oleh itu, E.S Yang Motor mengambil inisiatif untuk menggabungkan ketiga-tiga premis berkenaan iaitu pusat jualan, pusat selepas jualan serta pusat Body & Paint, dan diletakkan di bawah satu bumbung.

Pusat 4S baharu ini menyediakan 12 petak penyelenggaraan dan mampu menyelenggara sehingga 33 unit kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menyediakan ruang menunggu yang selesa untuk para pelanggan termasuk kemudahan WiFi, TV dan juga snek makanan ringan.

“Kami sentiasa berbangga apabila para pengedar kami menyedari betapa pentingnya meningkatkan standard perkhidmatan demi kemudahan para pelanggan. Sebagai pengedar Toyota yang telah lama beroperasi di Muar, E.S Yang Motor telah memberikan sumbangan dalam meningkatkan jenama ini dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan demi kemudahan para pelanggannya dalam satu lokasi,” kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ravindran K.

Terletak di 333, Jalan Dato Haji Kosai, Muar, pusat 4S ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ia boleh dihubungi menerusi talian 06-952 833 untuk bahagian jualan dan 06-955 6333 bagi mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), UMW Toyota memastikan semua pusat jualan dan servis bertauliah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh MITI. Ini termasuklah mengamalkan penjarakan sosial, memakai hand sanitizer dan juga membuat pembayaran tanpa sentuhan di premis masing-masing.