
Disebabkan amalan pemakaian topeng pelindung hidung dan mulut kini sudah menjadi sebahagian norma baharu di seluruh dunia selepas serangan pandemik Covid-19, pembuat tempat duduk perlumbaan dari Jepun, Bride hadir dengan produk tersebut di beri nama Bride BR3D HSMSH1.
Menurut Bride, topeng ini dihasilkan dari fabrik yang sama untuk membaluti tempat duduk mereka, dan ia sebenarnya diambil dari lebihan fabrik-fabrik dalam proses produksi, secara tidak langsung turut menyokong aktiviti-eko mereka bagi mengurangkan sisa buangan di kilang.
Bagi membentuk sebuah topeng, fabrik berkenaan turut dijahit bersama span urethane dan juga jalur “TM ICE” bagi memberikan sentuhan yang sejuk pada permukaan kulit pemakai. Manakala logo “Bride” pada topeng tersebut adalah tidak konsisten pada setiap unit kerana ia juga diambil dari bahan-bahan terbuang.

Bride mendakwa fabrik yang digunakan tersebut turut boleh mengurangkan pancaran UV dan selesa digunakan walaupun ketika musim panas, serta boleh dicuci dan digunakan semula berulang kali. Topeng berkenaan disertakan dengan tali satin yang lembut dan juga pelaras bagi mengelakkan pemakainya terasa sakit pada bahagian telinga.
Bride baru sahaja mengumumkan produk baharu ini pada laman facebook mereka semalam, dijual pada harga 3,300 yen atau sekitar RM132, dihasilkan dalam jumlah yang terhad. Namun setelah kami periksa sendiri di laman jualan atas talian Bride hari ini, ia sudah pun habis dijual.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.