Maserati bakal guna enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk jentera sport MC20 – 542 hp

Maserati bakal guna enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk jentera <em>sport</em> MC20 – 542 hp

Biar pun belum mendedahkan perincian penuh mengenai jentera sport yang sedang dipersiapkan, MC20, namun dengar cerita, pengeluar kereta berprestasi tinggi ini telah memutuskan untuk memilih penjana kuasa baharu.

Menurut laporan penerbitan Automotive News Europe, MC20 akan menggunakan enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang turut menampilkan ciri “turbulent jet ignition” bagi mempertingkatkan lagi penjimatan dan menggurangkan emisi. Ia juga akan merangkumi elektrifikasi walau pun ada kekurangan daripada sudut spesifikasi.

Enjin baharu ini dilaporkan mampu menghasilkan sehingga 542 hp (550 PS) dan bukan setakat MC20 sahaja yang bakal menggunakannya, bahkan Maserati turut memutuskan untuk memadankannya dengan model akan datang bagi GranTurismo dan GranCabrio.

Malahan syarikat penerbitan itu turut mendakwa enjin baharu ini juga akan menjana model crossover saiz sederhana baharu yang bakal dibina bersama Alfa Romeo Stelvio pada tahun hadapan. Walau bagaimana pun, dikhabarkan pengeluaran kuasanya akan dihadkan sehingga 523 hp (530 PS).

Memandangkan enjin baharu ini adalah bagi menggantikan penjana kuasa sedia ada V8 yang dihasilkan oleh Ferrari, ia juga dikhabarkan bakal digunakan untuk model Levante dan Quattroporte dengan masing-masing bersama hamburan kuasa 523 hp (530 PS) dan 572 hp (580 PS).

Selain enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 ini, laporan terbabit turut berkata Maserati turut menawarkan bentangan empat-silinder untuk model facelift Ghibli yang bakal didedahkan pada 15 Julai ini. Tidak menghairankanlah kerana enjin ini juga adalah versi yang sama bagi penjana kuasa 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang digunakan pada Alfa Romeo Giulia dan Stelvio serta Jeep Cherokee dan Wrangler. Ia juga akan dilengkapi dengan sistem hibrid sederhana 48 voltan dan digunakan untuk model Ghibli Hybrid.

Walau bagaimana pun, tiada perincian mengenai hamburan kuasa yang untuk model hibrid ini, namun sebelum ini Maserati pernah berkata, ia akan memacu jentera tersebut “dengan lebih berani ke masa hadapan yang lebih mampan.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required