Daihatsu Gran Max dan Toyota Town Ace 2020 tiba di Jepun – ada AEB & pelbagai sistem keselamatan aktif

Daihatsu Gran Max dan Toyota Town Ace 2020 tiba di Jepun – ada AEB & pelbagai sistem keselamatan aktif

Daihatsu telah memperkenalkan Gran Max 2020 untuk pasaran Jepun dan ia akan mula dijual di negara berkenaan pada 4 September ini. Bukan hanya Gran Max, malah kembarnya dengan logo Toyota iaitu Town Ace turut diperkenalkan sekali. Untuk pengetahuan anda juga, kedua-dua model ini tidak diproduksi di Jepun, sebaliknya ia diimport dari kilang subsidiari Daihatsu iaitu P.T Astra Daihatsu Motor di Indonesia.

Gran Max yang dikemaskini tersebut masih ditawarkan dalam bentuk dua versi kenderaan komersial ringan iaitu van panel dan juga trak pikap kecil. Manakala untuk Toyota Town Ace, pelanggan di Jepun turut diberikan pilihan cab belakang dengan ruang yang mempunyai sistem bilik sejuk dan juga bed dengan sistem pengangkat hidraulik.

Tidak kira apa juga bentuk badan, Gran Max dan Town Ace dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder, iaitu enjin yang sama dalam perut Perodua Myvi dan Aruz di Malaysia, namun ditala untuk menghasilkan 97 PS dan tork maksima 134 Nm. Enjin tersebut hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau automati empat kelajuan, serta pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda, namun masih bergantung pilihan bentuk badan.

Kedua-dua model ini menampilkan rupa yang hampir seiras antara mereka, dan hanya mudah dibezakan pada logo masing-masing. Gran Max dan Town Ace ini juga kini telah disegarkan dengan pemadanan lampu hadapan LED serta grafik lampu belakang yang disentuh semula.

Rekaan tiang-A pada kedua-dua model ini masih tidak berubah – direka lebih condong bagi memberikan ruang kepala dan sudut penglihatan lebih baik. Rekaan yang ergonomik serta praktikal pada bahagian belakang juga masih kekal membolehkan barangan diangkat masuk/dibawa keluar dengan mudah.

Perubahan terbesar untuk model kemaskini ini sebenarnya adalah pada ciri keselamatannya, di mana kedua-dua model tersebut kini hadir dengan sistem keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, sistem pengelak kemalangan mula bergerak dengan kawalan brek, amaran pergerakan kenderaan hadapan dan juga lampu tinggi automatik – kesemuanya standard untuk semua model.

Selain itu, sistem keselamatan sedia ada seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), traction control dan juga dua beg udara masih kekal pada Gran Max dan Town Ace 2020 pasaran Jepun ini.

Daihatsu Gran Max 2020

Toyota Town Ace 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required