Bridgestone bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan sistem tinjauan kerosakan tayar dalam masa nyata. Menurut syarikat pengeluar tayar itu, ia merupakan teknologi pertama seumpamanya di dunia. Ini merupakan perkara yang perlu diambil serius memandangkan 30% daripada kemalangan adalah disebabkan oleh kegagalan tayar.
Terdapat empat masalah utama yang kerap menyumbang kepada keadaan itu. Ini termasuk tekanan tayar yang tidak mencukupi, tayar lama, kehausan luar biasa serta kerosakan akibat melanggar pembahagi jalan, lubang atau objek asing ketika di jalan raya. Kenderaan moden kini banyak yang sudah dilengkapi sistem peninjau tekanan tayar (TPMS) untuk memberi makluman kepada pemandu. Bagaimanapun, kerosakan tayar lebih sukar untuk dikesan tanpa penelitian secara manual.
Sistem Tinjauan Kerosakan Tayar oleh Bridgestone ini membolehkan pengesanan kerosakan tayar dilakukan secara masa nyata menggunakan kerangka cloud menerusi Microsoft Connected Vehicle Platform (MVCP), serta penggunaan sensor sedia ada untuk mengesan situasi yang mungkin boleh merosakkan keadaan tayar. Pemandu kemudiannya akan dimaklumkan segera.
Menurut Bridgestone, setakat ini belum ada lagi sistem yang menyamai apa yang sedang mereka bangunkan. Alternatif lain pula memerlukan pemasangan alatan tambahan lain. Sistem ini juga akan mengetahui lokasi berlakunya kerosakan tayar serta bila kerosakan itu berlaku.
Ini secara tidak langsung turut memberikan maklumat berkaitan keadaan jalan serta infrastruktur yang ada, yang kemudiannya boleh digunakan untuk dimaklumkan kepada agensi tempatan yang berkaitan. Kenderaan generasi akan datang dengan teknologi autonomous juga berpeluang untuk memanfaatkan sistem ini.
Ketika ini, sistem peninjau kerosakan tayar ini tersedia untuk semua kenderaan armada serta pengeluar kelengkapan tulen (OEM) yang menggunakan MVCP. Selain daripada tinjauan tayar, ia turut menyediakan sambungan cloud untuk kegunaan infotainmen dalam kenderaan, sistem tunjuk arah canggih, pemanduan autonomous, telematik dan serta kemaskini sistem cara over-the-air (OTA).
“Bridgestone ada peluang untuk membawakan sistem ini kepada jutaan pemandu melalui kerjasama Microsoft, menjadikan keselamatan dan ketenangan pengguna jalan raya sebagai keutamaan,” ujar CEO dan Presiden Bridgestone EMIA, Laurent Dartoux.