Semalam telah diumumkan, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi tujuan membenarkan kembali perjalanan rentas sempadan antara dua negara. Tarikh pelaksanaan yang disasarkan adalah pada 10 Ogos 2020. Keputusan ini diambil bagi memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara.

Susulan perkara tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kemudahan PCA hanya akan dihadkan kepada 2,000 orang sehari melalui Tambak Johor dan Link Kedua bagi tujuan rentas sempadan tersebut.

Selain itu 400 orang akan dibenarkan menggunakan RGL iaitu untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting setiap minggu, ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Hishammuddin turut berkata, had pengguna kedua-dua kategori kemudahan rentas sempadan ini akan dikaji dan dipertimbangkan untuk penambahan dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah kes Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan serta proses keluar masuk hanya akan diumumkan secara terperinci sepuluh hari sebelum tarikh itu.

“Terdapat dua lagi kategori iaitu membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan seramai kurang 200,000 rakyat kedua-dua negara.

“Untuk kategori ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan. Ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 jelas belum reda,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.